MENJAGA IKHTILAT DI TEMPAT KERJA: ANTARA MENCARI REZEKI DAN MENJAGA MARUAH DIRI

Dewasa ini, lelaki dan wanita bersama-sama menggalas tanggungjawab di alam pekerjaan. Kita berkongsi ruang pejabat, menghadiri mesyuarat bersama dan bekerjasama dalam pelbagai tugasan harian. Namun, dalam kesibukan mengejar rezeki, sering kali kita lupa tentang satu tuntutan agama yang sangat penting iaitu keperluan menjaga ikhtilat ataupun dalam bahasa mudahnya merupakan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Ikhtilat berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “bercampur”. Dalam konteks Islam, ia merujuk kepada pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berlaku tanpa keperluan yang dibenarkan syarak apatah lagi jika melibatkan suasana yang boleh mencetuskan fitnah. Walaupun bekerja itu satu kewajipan untuk mencari nafkah, menjaga maruah diri dan mengawal pergaulan tetap menjadi tanggungjawab setiap Muslim tanpa mengira jawatan atau status.

Islam sangat menggalakkan umatnya bekerja untuk mencari nafkah yang halal. Bahkan, bekerja dianggap ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas. Namun, mencari rezeki perlu seiring dengan menjaga adab dan maruah diri. Dalam mengharapkan rezeki yang diperolehi itu sentiasa dalam keberkatan, ia perlu selari dengan syariat agar tidak tergelincir dari batas yang digariskan.

Pergaulan bebas, gurauan berlebihan atau perbualan peribadi yang tidak perlu di tempat kerja mungkin dianggap ‘biasa’ pada masa kini. Namun ia sebenarnya membuka ruang kepada perkara yang lebih buruk. Satu perkara yang sering tidak disedari ialah kecurangan bukan bermula dengan “I love you”, tetapi kadang kala ia bermula dengan “You nak sandwich tak? I bawa lebih pagi ni..”. Niatnya mungkin sekadar berkongsi makanan antara rakan satu pejabat, tetapi jika berlebihan dan kerap kepada individu tertentu, ia mampu menyemai hubungan emosi yang tidak wajar.

Ramai beranggapan kecurangan hanya berlaku apabila seseorang sudah terlanjur hubungan. Hakikatnya, kecurangan emosi iaitu berasa seronok, tertarik atau memberikan perhatian istimewa kepada rakan sekerja bukan mahram adalah lebih berbahaya kerana ia sukar dikesan tetapi mampu menghancurkan rumah tangga.

Hubungan yang dimulakan dengan gurauan ringan, sapaan manja atau mesej peribadi di luar waktu kerja boleh bertukar menjadi perasaan dan akhirnya ke arah perhubungan sulit. Maruah diri dan pasangan yang sepatutnya dijaga kini digadaikan atas alasan “kawan kerja”. Lebih menyedihkan, anak-anak dan institusi kekeluargaan turut menjadi mangsa. Bagi yang belum melintasi “sempadan” ini, beringatlah agar tidak terjebak. Manakala bagi yang sudah melepasi “sempadan” ini, hentikan segala perbuatan tidak baik tersebut dan bertaubatlah kepada Allah SWT.

Maruah bukan sekadar imej atau reputasi yang dipandang oleh orang luar. Ia adalah kehormatan diri yang perlu dipelihara sebagai bukti keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Dalam surah An-Nur ayat 30–31, Allah memerintahkan kaum lelaki dan perempuan untuk menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa menjaga ikhtilat bukanlah pilihan tetapi perintah yang wajib ditaati.

Di tempat kerja, ini bermaksud menjaga tutur kata, elakkan komunikasi yang berbaur emosi atau menggoda dan jangan sesekali menyalahguna hubungan profesional untuk tujuan peribadi. Elakkan pujian fizikal yang tidak perlu, elakkan daripada berkongsi masalah rumah tangga dengan rakan sekerja yang bukan mahram kerana dari simpati boleh datang empati dan akhirnya simpang ke arah sebuah kecurangan.

Dalam sesetengah organisasi, budaya pergaulan bebas dianggap tanda keterbukaan dan profesionalisme. Namun, tidak semua yang moden itu betul. Panggilan manja seperti “dear”, “sayang” atau “manja” walaupun dalam nada bergurau boleh mencetuskan salah faham dan mengetuk pintu hati.

Hakikatnya, menjaga ikhtilat bukanlah bertujuan menyusahkan atau menyekat komunikasi, tetapi ia untuk mendidik jiwa supaya tahu menjaga maruah dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhah. Islam mendidik kita agar tidak mendekati zina bukan hanya menjauhinya. Maka, segala jalan menuju ke arahnya wajib dielakkan termasuk pergaulan yang terlalu mesra walau dalam urusan kerja.

Setiap individu harus bermuhasabah. Jika sudah berkeluarga, ingatlah bahawa setiap langkah dan kata kita mewakili maruah pasangan dan anak-anak. Jika masih bujang, peliharalah diri daripada menjadi ‘punca’ keruntuhan rumah tangga orang lain.

Organisasi pula perlu menyediakan kod etika kerja yang jelas. Wujudkan polisi tentang gangguan seksual, ruang kerja terbuka dan saluran aduan selamat. Latih warga kerja supaya peka terhadap isu pergaulan dan hormat antara jantina. Persekitaran kerja yang sihat akan lahir daripada individu yang berakhlak dan menghormati batas agama.

Kesimpulannya, kita tidak menafikan bahawa mencari rezeki merupakan tuntutan hidup tetapi jangan sesekali mengorbankan maruah dalam usaha tersebut. Menjaga ikhtilat di tempat kerja bukan sekadar tentang diri sendiri tetapi juga tentang menjaga agama, integriti, hati pasangan, maruah diri dan keluarga serta keberkatan rezeki.

Harus diingat, curang itu tidak bermula dengan niat tetapi dengan kelalaian menjaga batas. Rezeki yang diberkati lahir daripada pekerjaan yang bukan hanya halal tetapi juga dijalankan dalam suasana yang bersih dari maksiat.

Kerana pada akhirnya, rezeki yang paling indah ialah rezeki yang disertai dengan keberkatan dan maruah yang tetap terpelihara di hadapan manusia dan di sisi Allah S.W.T.

Jadikan tempat kerja bukan sekadar ruang mencari nafkah tetapi juga medan untuk menunjukkan akhlak Islam yang sebenar.

 

Disediakan oleh:

Mohd Noor Hisyam Ab Latif

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …