KUALA TERENGGANU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 15 pendatang tanpa izin dalam Op Sapu dan Kutip di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, pada 15 Julai lalu.
Op Bersepadu tersebut diketuai oleh Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Menurut Pengarah JIM Terengganu, kesemua lelaki warga Myanmar dan Bangladesh berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan di lima premis di tapak pembinaan bangunan kediaman dan pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka masuk ke negara ini tanpa kebenaran selain tinggal melebihi tempoh masa.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Pihak JIM Terengganu turut mengeluarkan notis kepada seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang disyaki melindungi pendatang tanpa izin.
Sumber: Sinar Harian



