PETROL, KOSMETIK SELUDUP RM177,000 DIRAMPAS DI SEMPORNA

SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak petrol dan pelbagai produk kecantikan bernilai keseluruhan RM177,000 dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di dua lokasi berasingan di sini

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi – Op Taring Dosej melibatkan kerjasama strategik antara beberapa agensi penguatkuasaan.

Katanya ia termasuklah Cawangan Risikan/Task Force Batalion 22 PGA Kunak, Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Serbuan pertama dijalankan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Mesra membabitkan rampasan RM52,000.

“Hasil pemeriksaan di lokasi itu menemukan sejumlah besar tong berisi bahan api disyaki petrol.

“Pemeriksaan lanjut di belakang premis itu turut menemukan sebuah bot kayu yang penuh dengan muatan petrol yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, seorang lelaki warga asing turut ditahan dalam serbuan itu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan dan siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol itu sejak 2023.

Menurutnya, kes diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Serbuan kedua membabitkan rampasan kosmetik tanpa cukai bernilai RM125,000 dalam serbuan berasingan dan penahanan seorang wanita bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan produk kosmetik.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sebanyak 11 kotak berisi pelbagai produk kecantikan yang tidak mempunyai cukai dan tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya sambil menambah barangan rampasan diserahkan kepada pihak JKDM untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek mengaku mendapatkan barangan kosmetik dari negara jiran dan terbabit dalam aktiviti pembekalan produk kosmetik sejak tahun 2024.

“Kejayaan operasi ini menunjukkan keberkesanan kerjasama antara agensi dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

“PGA akan terus mempergiatkan risikan dan operasi seumpamanya demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Operasi bersepadu seperti ini dijangka akan diteruskan secara berkala bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya.

 

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …