SUSPEK BUNUH, CEDERAKAN RAKAN SEKERJA DI KINABATANGAN DITAHAN

Utusan borneo

KINABATANGAN: Seorang lelaki warga asing yang membunuh dan mencederakan rakan sekerjanya di rumah pekerja sebuah ladang di sini ditahan selepas dua hari diburu pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam berkata, suspek berumur 40-an itu menyerah diri dengan orang awam jam 5.30 petang Isnin sebelum polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan membuat tangkapan semula, kira-kira jam 8 malam.

Katanya, operasi turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan anggota polis dari Balai Polis Tongod.

“Suspek menyerah diri kepada orang awam di kawasan Ladang Lokan Baru, Telupid yang terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Telupid untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, semasa ditahan, polis turut merampas sebilah parang berukuran 37 sentimeter dipercayai senjata yang digunakan bagi mengelar leher mangsa hingga maut dan menikam seorang lagi mangsa hingga parah di bahagian dada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat yang membantu sehingga tertangkapnya suspek dan berjaya menyelesaikan kes ini.

“Pihak polis juga menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini di media sosial yang akan menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.

Terdahulu, suspek mengelar leher rakan sekerjanya berumur 30-an sehingga maut manakala seorang lagi rakan mereka berumur 24 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut parah ditikam di bahagian dada oleh suspek.

Mangsa yang parah menjerit meminta tolong bagaimanapun suspek bertindak melarikan diri dengan membawa pisau berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira 6.30 petang Jumaat lalu, ketiga-tiga mereka menghadiri majlis sambutan hari lahir anak rakan sekerja di ladang berkenaan.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …