PENERBANGAN TERUS: Julinus Jeffery (tiga kiri) bersama kru penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Bandar Ho Chi Minh semalam.
BANDAR HO CHI MINH: AirAsia memperkembang rangkaiannya di Vietnam dengan pelancaran laluan terus baharu dari Kota Kinabalu ke Bandar Ho Chi Minh semalam.
Penerbangan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.45 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Bandar Ho Chi Minh pada jam 12.55 tengah hari, dengan muatan penumpang 96 peratus.
Pelancaran laluan ini menandakan permulaan penerbangan antarabangsa ke-16 AirAsia yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dari Kota Kinabalu.
Pelancaran laluan baharu ini selaras dengan matlamat sektor pelancongan Malaysia yang lebih luas, termasuk sasaran 27.3 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun 2024 dan persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia juga selari dengan matlamat pelancongan Vietnam untuk menarik 17 hingga 18 juta pelawat antarabangsa pada tahun ini, terutama dalam musim puncak ketibaan pelancong global pada suku keempat tahun ini.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, menyifatkan pengenalan laluan dari Bandar Ho Chi Minh ke Kota Kinabalu sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan udara Sabah di Asia Tenggara.
Beliau berkata sambungan baharu itu merupakan langkah penting dalam usaha memperluas rangkaian Sabah di rantau ASEAN.
“Saya menyokong komitmen AirAsia dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyokong visi Sabah untuk menjadi destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit, berkata pihaknya berbesar hati menyambut laluan baharu itu yang menandakan pencapaian penting bagi negeri Sabah sebagai destinasi yang semakin menjadi pilihan di Asia Tenggara.
Katanya, Bandar Ho Chi Minh dikenali di kalangan rakyat Sabah dan laluan baharu ini menawarkan peluang kepada pelancong di Vietnam menerokai keindahan landskap semula jadi, warisan budaya dan pelancongan perubatan di Sabah.
Dengan pengumuman rangkaian baharu ini, STB akan menggandakan usaha untuk mempromosikan laluan ini untuk menawarkan produk pelancongan terbaik dari Sabah.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada AirAsia atas sokongan dalam memperkukuh kesalinghubungan serantau dan memacu pertumbuhan pelancongan antara Sabah dan Vietnam,” katanya.
Ketua Pegawai Komersial AirAsia Aviation Group, Paul Carroll, pula berkata pelancaran laluan baharu itu menekankan komitmen pihaknya untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau, sambil menawarkan perjalanan berpatutan dan lancar untuk para tetamu.
“Vietnam secara konsisten telah menjadi pasaran utama bagi AirAsia, dan perkhidmatan baharu dari Kota Kinabalu ini menambah dimensi baharu kepada rangkaian luas kami.
“Ia bukan sahaja meningkatkan potensi pelancongan untuk Sabah dan Vietnam, malah menyokong peluang perdagangan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
“Kami teruja untuk terus mengeratkan hubungan antara destinasi-destinasi dinamik ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



