Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, meneruskan kawalan dan pemantauan di kawasan sekitar Kampung Basung, selepas seorang pekebun maut diserang gajah liar dalam kejadian pagi tadi. Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, sebaik menerima laporan berhubung kehilangan Musa Ahmad, 65, pihaknya turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat warga emas berkenaan.
Menurutnya, sejak minggu lalu pihaknya sudah membuat kawalan dan pemantauan terhadap kumpulan gajah berkenaan dengan menggunakan kaedah menembak bagi menghalau mamalia berkenaan ke hutan. Katanya, bagaimanapun kawasan terbabit luas dan gajah yang dihalau ke hutan akan kembali ke kebun dan penempatan penduduk untuk mendapatkan makanan.
Menurutnya, sekiranya kaedah halau tidak berkesan pihaknya akan mempertimbangkan untuk menangkap dan memindahkan gajah itu ke kawasan lain. Katanya, untuk rekod hingga September tahun ini, lima operasi pemindahan gajah sudah dijalankan di negeri ini membabitkan gajah yang menceroboh penempatan dan mengganggu penduduk kampung.
Beliau berkata, pihaknya menasihati penduduk yang terjejas akibat gangguan haiwan liar terutama gajah supaya segera melaporkan kepada Perhilitan. Laporkan secepat mungkin memudahkan pihak Perhilitan untuk mengambil tindakan segera berikutan haiwan itu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Perhilitan juga menasihati pekebun tidak ke kebun secara berseorangan kerana ini bukan soal gajah saja, malah harimau pun sama. Kalau boleh ke kebun dua atau tiga orang kerana kawasan berkenaan terdedah dengan hidupan liar.
Menurut Perhilitan, sukar untuk diklasifikasikan selamat atau tidak kawasan berkenaan kerana ia luas namun kakitangan Perhilitan masih melakukan pemantauan di kawasan itu. Pihaknya sudah menziarahi keluarga mangsa selain memaklumkan mengenai tabung serangan haiwan buas kepada waris.
Terdahulu Harian Metro melaporkan Allahyarham Musa yang hilang sejak semalam dan mayatnya ditemukan pagi tadi dipercayai diserang sekumpulan gajah liar, kesan dari kecederaan di kepala akibat ditekan oleh sesuatu benda berat, dipercayai gajah.