Topik kesan kenaikan harga barang merupakan antara topik hangat yang sering dibincangkan sejak kebelakangan ini. Walaupun sudah beberapa tampuk kepimpinan negara berubah, nampaknya isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup in belum menampakkan sebarang perubahan yang ketara.
Pengurangan kuasa membeli
Secara teorinya, semakin meningkat kos sara hidup semakin kurang kuasa beli pengguna. Bagi individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar dan keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu yang akan memberi kesan kepada kuasa beli mereka dan juga kualiti hidup secara keseluruhan. Kenaikan kos sara hidup terjadi setiap tahun walaupun terdapat banyak rungutan dan rintihan daripada rakyat tentang kenaikan harga barangan pengguna.
Psikologi
Antara kesan implikasi buruk yang utama dikenal pasti akibat daripada kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah dari sudut psikologi. Psikologi seseorang akan terjejas akibat daripada ketidakmampuan untuk menjelaskan bebanan hutang. Seseorang individu akan berasa tertekan berhadapan situasi ini yang akan mengundang simptom tekanan seperti sukar untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala, bimbang, mudah marah dan sebagainya.
Sosial
Peningkatan harga barangan dan kenaikan kos sara hidup juga turut mempengaruhi dan memberi kesan terhadap aspek sosial. Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka individu tersebut terpaksa mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi. Ini akan menyebabkan individu tersebut terpaksa melakukan dua kerja iaitu meneruskan kerja tambahan selepas kerja hakiki tamat.
Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan. Sekiranya berterusan, natijahnya menyebabkan masalah sosial berlaku seperti penceraian, pergaduhan, penderaan dan juga gejala sosial dalam kalangan remaja di Malaysia pada hari ini.
Keselamatan
Faktor keselamatan juga terjejas dengan peningkatan harga barangan dan kenaikan kos sara hidup yang melampaui kemampuan pendapatan per kapita rakyat pada masa kini. Aktiviti jenayah berat seperti kecurian, rompakan dan juga penculikan banyak berlaku akhir-akhir ini dan menunjukkan peningkatan saban tahun menurut Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch).
Faktor utama yang menyebabkan jenayah berat ini terus berleluasa disebabkan oleh kesempitan wang untuk berbelanja dan untuk mendapatkan kemewahan segera selari dengan peningkatan harga barangan, perkhidmatan serta keperluan asas yang begitu drastik.
Sumber:Β eCentral