REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM TANPA PELAKSANAAN BERKESAN SEKADAR ‘DOKUMEN TANPA ROH’

Sejarah pentadbiran awam Malaysia menyaksikan pelbagai isu yang berakar umbi dalam sistem birokrasi. Salah satunya adalah pengenalan awal tentang kelemahan birokrat iaitu muncul dari kepimpinan politik Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengenalpasti ‘Seven Deadly Sins’ dalam kalangan penjawat awam. Sikap buruk itu adalah:

 

  1. Kecemburuan antara jabatan mengganggu kerjasama harian;
  2. Kurangnya koordinasi antara jabatan;
  3. Kekurangan kerjasama lengkap antara pegawai disebabkan kurangnya pemahaman terhadap tugas masing-masing;
  4. Keutamaan bertentangan dalam kalangan jabatan, menyebabkan fokus tidak seimbang;
  5. Perancangan tidak mencukupi dalam jabatan untuk menyokong pelan induk kawasan luar bandar;
  6. Ketiadaan pelan induk di semua peringkat untuk memaksimumkan pembangunan luar bandar; dan
  7. Kurangnya kawalan arah mencukupi pihak atasan untuk memastikan operasi kerajaan berfungsi secara efisien dan berfokus kepada pembangunan luar bandar.

 

Susulan itu, laporan Esman-Montgomery (1965) mencadangkan penubuhan Unit Pentadbiran Pembangunan (DAU) antara lain cuba memperbaiki sikap buruk dikenal pasti. Namun, pelaksanaan beberapa saranan laporan ini sering terhalang pelbagai faktor, termasuk politiking dalam kalangan pentadbir, ketegangan etnik selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), membatasi keberkesanan reformasi dicadangkan.

Menurut Tan Sri Dr Rais Yatim dalam bukunya ‘Cabinet Governing in Malaysia’ (2006), selepas era itu, tidak terdapat usaha besar-besaran untuk merombak perkhidmatan awam sehinggalah ke hari ini. Kini, di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, boleh disaksikan satu inisiatif baharu lebih holistik untuk mengembalikan martabat penjawat awam diarusperdanakan menerusi agenda reformasi institusi dan kerajaan.

Sebelum itu, penting untuk membezakan antara ‘perubahan’ dan ‘reformasi’. Semua reformasi adalah perubahan, tetapi tidak semua perubahan itu reformasi. Dalam konteks ini, reformasi sudah tentu bukan bersifat kecil-kecilan, sama ada dalam bentuk struktur, proses atau prosedur. Apa yang penting ia memberi impak. Impak disasarkan ini bukan sahaja diukur dari segi jumlah peruntukan dibelanjakan atau sifatnya yang bercirikan antarabangsa berbanding tempatan, tetapi jauh lebih penting ialah mencapai matlamat meningkatkan kapasiti pentadbiran menerusi pengetahuan, kemahiran serta iltizam, akhirnya meningkatkan akauntabiliti penjawat awam.

Reformasi pentadbiran bukan hanya penting untuk meningkatkan kecekapan, tetapi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam. Pada era 1970-an, pentadbir awam di Malaysia dianggap sebagai nadi utama pembangunan negara. Pada masa itu, arahan daripada Ketua Setiausaha KeMenterian (KSU) dapat dilaksanakan segera tanpa menunggu kelulusan pucuk pimpinan politik. Kini, proses pengambilan keputusan menjadi lebih rumit, sering kali memerlukan lampu hijau dari Menteri atau Perdana Menteri sebelum tindakan diambil. Ini menunjukkan pentingnya peranan penjawat awam dalam pengambilan keputusan dan pelaksanaan dasar.

Namun, cabaran terbesar melaksanakan reformasi adalah berkaitan dengan konsep akauntabiliti. Konsep ini sering disebut-sebut, tetapi penghayatannya dalam perkhidmatan awam masih jauh daripada memuaskan. Sebagai contoh, baru-baru ini, sebuah agensi kerajaan meluluskan penghantaran 68 pegawainya untuk menghadiri pameran di Berlin, Jerman. Namun keputusan ini dibatalkan Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan persoalan ‘adakah keputusan asal diambil dengan mempertimbangkan kepentingan rakyat atau hanya untuk memenuhi keperluan segelintir individu dalam pentadbiran’.

Budaya menumpukan tanggungjawab sepenuhnya kepada Menteri, sambil mengabaikan peranan pegawai kanan, perlu diperbetulkan. Pegawai kanan diberi amanah dan berfungsi dalam kapasiti penuh juga perlu dipertanggungjawabkan secara adil. Keputusan dan tindakan tidak seharusnya ditentukan hanya berdasarkan kehendak Menteri atau pihak berkuasa, sebaliknya mesti mengambil kira kepentingan rakyat. Bagi memastikan akauntabiliti dijalankan, sistem kawalan dan pemantauan telus serta tidak berat sebelah perlu diwujudkan untuk kedua-dua pihak.

Menteri bertanggungjawab mengawasi tindak-tanduk pentadbir, manakala Menteri pula diawasi Jemaah Menteri dan seterusnya Parlimen. Ahli parlimen pula akhirnya disaring melalui pengundi celik dan jujur. Ia mungkin mengambil masa namun di sinilah asas akauntabiliti sesebuah kerajaan itu perlu dipupuk dan dibina.Meskipun terdapat usaha untuk memperbaiki perkhidmatan awam, cabaran melaksanakannya bukan mudah. Pertama, reformasi mensasarkan struktur sudah berakar umbi dalam birokrasi. Usaha mengubah struktur ini sering kali bertembung dengan cabaran ‘ketidakpuasan pegawai kerajaan hingga tekanan politik’.

Kedua, pelaksanaan reformasi memerlukan penyesuaian undang-undang, perubahan prosedur dan latihan intensif kepada pegawai kerajaan. Semua ini memerlukan masa, sumber dan komitmen berterusan semua pihak. Reformasi bukan sekadar menyampaikan visi atau mengedarkan pekeliling, ia memerlukan pengurusan teliti dan perubahan budaya mendalam. Merancang program pembaharuan hanyalah permulaan namun tanpa pelaksanaan berkesan, ia akan terbiar sebagai ‘dokumen tanpa roh’. Di sinilah komunikasi antara pihak atasan dan pelaksana di peringkat bawahan menjadi sangat penting.

Sikap lepas tangan dan suka berkira merencatkan komunikasi, sementara ketidakpedulian terhadap maklum balas dan defensif terhadap kritikan menghalang kemajuan. Sikap negatif dan kurang empati merugikan semangat kerja serta hubungan. Komunikasi tidak jelas menambah kekeliruan dan sikap berpolitik mementingkan agenda peribadi mengganggu kerjasama. Jika sikap ini tidak ditangani, transformasi diidamkan akan terus terhalang.

Penilaian prestasi kakitangan melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sering kali boleh menyebabkan fenomena terganggunya maksud dan matlamat asal kepada sekadar mencapai angka atau petunjuk tertentu. Dalam konteks kerajaan, KPI sering kali diukur berdasarkan output jangka pendek tanpa mengambil kira kesan jangka panjang atau hasil sebenar. Ini boleh menyebabkan penjawat awam lebih tertumpu memenuhi KPI ditetapkan, tanpa menghayati matlamat sebenar dasar atau program dilaksanakan.

Oleh itu, Ketua Jabatan yang berperanan sebagai pemimpin perlu bijak menggunakan KPI sebagai alat penilaian, memastikan keseimbangan antara input dan output, serta tidak mengabaikan hasil jangka panjang yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Kepemimpinan yang hanya bergantung sepenuhnya kepada KPI boleh mewujudkan persekitaran kerja terlalu kaku, seterusnya melemahkan motivasi kakitangan dan merendahkan tahap inovasi serta kreativiti dalam organisasi.

Reformasi pentadbiran adalah soal mengubah sikap, berbalik kepada keupayaan dan iltizam untuk berubah. Penyelesaiannya bukan lagi dengan berfikir di luar kotak, tetapi dengan melihat secara jujur kepada sikap dalam diri sendiri dalam kalangan unit atau jabatan. Dalam konteks ini, reformasi pentadbiran sangat diperlukan untuk memastikan akauntabiliti bukan sekadar retorik, tetapi diterapkan dalam setiap lapisan pentadbiran. Cukup-cukuplah dengan slogan dan retorik seperti orang politik, fokus kepada rakyat atau pembayar cukai.

Pendek kata, reformasi bukan sekadar pilihan, ia adalah keperluan mendesak untuk memastikan masa depan pentadbiran awam Malaysia lebih cemerlang dan berdaya saing. Hanya dengan kesedaran tinggi dan kerjasama tulen di antara Menteri dan pentadbir menjadikan reformasi pentadbiran di Malaysia dapat direalisasikan.

Artikel/Berita Terkini

JPJ: OPERASI KHAS MOTOSIKAL TUMPU LAPAN KESALAHAN UTAMA HINGGA 31 DISEMBER 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua (2) bulan bermula 1 November 2024 …
Maklumat Lanjut

APAKAH TUJUAN AKAUN PERSARAAN, AKAUN SEJAHTERA DAN AKAUN FLEKSIBEL?

Jom fahami penerangan ringkas tentang fungsi Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3). Untuk …
Maklumat Lanjut

KES AMANG SEKSUAL GISBH: MAHKAMAH TETAP 18 NOVEMBER SERAHAN LAPORAN PERUBATAN MANGSA

Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan 18 November depan untuk serahan laporan perubatan bagi kes amang seksual melibatkan empat …
Maklumat Lanjut