Meneruskan agenda pemerkasaan pemikiran keselamatan di dalam komuniti, Majlis Keselamatan Negara Negeri Kedah berkesempatan menyantuni kumpulan bakal pendidik di kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.
Penerimaan baik para peserta sepanjang program berlangsung telah ditonjolkan melalui wajah penuh minat dan persoalan-persoalan yang ditimbulkan sewaktu sesi soal jawab. Kesedaran mengenai kepentingan pemikiran keselamatan telah dihayati sebaiknya oleh para peserta yang hadir.
Menyedari bahawa kumpulan pendidik merupakan kelompok paling hampir dengan masyarakat khususnya golongan pelajar selain berperanan sebagai pembentuk generasi hadapan, MKN Kedah berpandangan bahawa suntikan elemen pemikiran keselamatan harus diterapkan lebih awal di kalangan para pelajar institut ini bagi membolehkan agenda keselamatan dapat dihayati dan direalisasikan setelah ditempatkan sebagai guru di sekolah nanti.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap isu kesihatan mental di kalangan bakal pendidik dan kumpulan pelajar pada masa kini. Berkongsi di dalam sesi taklimat ini, Ketua Penolong Pengarah MKN Kedah, Encik Bakhtiar Effendy Khalid berkata, kesihatan mental yang baik sangat diperlukan oleh bakal guru dalam mendepani cabaran dalam dimensi pendidikan yang semakin meluas.
