“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.”
Fenomena merakam dan menjual aksi hubungan intim melalui media sosial bukan lagi isu terpencil ia kini menjadi sebuah industri kotor yang perlahan-lahan merobek tatasusila bangsa dan menggugat keselamatan masyarakat. Di balik layar telefon pintar, ada pihak yang bersorak dengan keuntungan, tetapi di balik paparan itu juga, terlindung derita, trauma, dan kehancuran nilai diri yang tak ternilai harganya.
Platform seperti OnlyFans, Patreon, Twitter dan Instagram, yang asalnya dibangunkan untuk berkongsi ilmu dan mempererat silaturahim, kini semakin dicemari oleh aktiviti tidak bermoral yang menjadikan tubuh manusia sebagai barang dagangan. Lebih menyedihkan, ramai yang menormalisasikan aksi menjual maruah diri ini atas nama “kebebasan peribadi”, satu alasan yang kerap kali digunakan untuk menutup kebobrokan yang semakin membarah.
Apakah nilai sebuah tubuh? Adakah harga sebuah maruah kini boleh ditentukan oleh bilangan “likes“, “subscribers“, atau jumlah ringgit di akaun PayPal?
Fenomena ini tidak lagi eksklusif kepada bintang filem lucah atau industri gelap. Ia kini membanjiri laman sosial anak muda kita, yang terpedaya dengan mimpi “pendapatan mudah” tanpa menyedari mereka sedang mempertaruhkan harga diri, masa depan dan kesejahteraan emosi mereka.
Lebih membimbangkan, aksi-aksi intim ini bukan hanya kekal dalam lingkaran peribadi, sebaliknya mudah bocor, dikongsi, dan dimanipulasi hingga menjadikan mangsanya terperangkap dalam jerat ugutan, ‘revenge porn‘, dan tekanan mental yang berpanjangan. Kandungan yang sekali dimuat naik tidak akan pernah benar-benar terpadam. Internet tidak pernah lupa.
Kita tidak harus menipu diri. Di sebalik senyuman yang dibuat-buat di hadapan kamera, ramai yang menyembunyikan air mata dan rasa bersalah yang tidak terungkap. Mereka menjadi mangsa kepada eksploitasi digital sama ada secara sukarela kerana tekanan hidup, atau secara paksa kerana manipulasi dan tipu daya.
Lebih parah, apabila masyarakat mula menutup mata, membisu dan menyifatkannya sebagai “pilihan individu”, maka di situlah bermulanya kejatuhan nilai dan akhlak dalam sesebuah tamadun. Adakah kita ingin melihat generasi masa depan menjadikan aksi tidak bermoral ini sebagai norma baharu?
Malaysia tidak kekurangan undang-undang. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan jelas melarang penyebaran bahan lucah. Namun, undang-undang hanya akan berfungsi apabila masyarakat turut bangkit menolak kebejatan ini.
Kita memerlukan kebangkitan budaya, bukan sekadar penguatkuasaan. Kebangkitan untuk mengangkat semula nilai maruah, memperkukuh jati diri bangsa, dan melindungi anak-anak kita daripada terus hanyut dalam arus kemodenan tanpa sempadan.
Ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat. Ini bukan sekadar isu peribadi, ini adalah isu masa depan negara. Maruah adalah asas ketamadunan. Jika kita terus berdiam diri, satu hari nanti kita sendiri akan menjadi saksi kepada keruntuhan akhlak yang tidak lagi mampu diperbaiki.
Sudah tiba masanya kita bina tembok kesedaran. Tanamkan pendidikan etika digital sejak bangku sekolah. Kuatkuasakan undang-undang tanpa kompromi. Dedahkan risiko dan bahaya ‘perdagangan maruah’ ini secara terbuka. Media, institusi agama dan kerajaan harus seiring dalam menyekat budaya songsang ini daripada terus menular.
Privasi bukan hak yang boleh dijual beli. Hubungan intim bukan bahan tontonan awam. Dan maruah bukan komoditi untuk ditukar dengan wang ringgit. Bangsa yang bermaruah tidak menjual tubuh demi content. Masyarakat yang bermaruah tidak memuja mereka yang meraih kekayaan melalui jalan maksiat.
Bangkitlah wahai rakyat, sebelum maruah yang sedikit ini turut tergadai.
Disediakan oleh:
Che Nur Syafiqkah binti Mohamad Fuzi