ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan

Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, makanan ruji bagi lebih 30 juta rakyat. Pengeluaran padi melibatkan ribuan pesawah di seluruh negara, tetapi negeri Kedah Darul Aman ternyata lebih menonjol sebagai penyumbang terbesar, menjadikannya komponen penting dalam memastikan jaminan sekuriti makanan negara.

Kedah Sebagai Jelapang Padi Negara: Statistik Pengeluaran

Statistik yang dicerap melalui data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2023 menunjukkan, jumlah pengeluaran padi negara secara purata mencecah 2.5 juta tan metrik setahun, dengan negeri Kedah sahaja menyumbang kira-kira:

  • 1 juta tan metrik padi setahun, iaitu bersamaan lebih 40% daripada keseluruhan pengeluaran negara.
  • Kawasan di bawah pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meliputi 100,000 hektar sawah yang beroperasi dua musim setahun.
  • Hasil purata per hektar di Kedah berada sekitar 0 tan metrik per musim, lebih tinggi berbanding beberapa negeri lain seperti Selangor, Kelantan, dan Perlis.

Oleh yang demikian, negeri Kedah bukan sekadar penyumbang utama kepada beras tempatan tetapi juga penentu kepada kestabilan harga dan bekalan beras nasional.

Kaedah Penanaman dan Cabaran Pesawah

Sebelum kita meneliti mengenai isu beras dan padi ini, kita perlu memahami bagaimana kaedah penanaman padi serta cabaran yang dilalui oleh pesawah, khususnya di negeri Kedah. Kebanyakan pesawah pada masa kini menggunakan kombinasi kaedah tradisional dan moden, termasuk:

  • Tabur terus dan transplantasi; dan
  • Penggunaan jentera seperti transplanter dan combine harvester.

Namun, pesawah menghadapi cabaran besar:

  • Kos input meningkat (benih, baja, racun perosak);
  • Kesan perubahan iklim (banjir, musim kemarau tidak menentu);
  • Masalah serangan makluk perosak dan penyakit tanaman;
  • Pendapatan rendah, di bawah paras kemiskinan bagi sebahagian pesawah kecil;
  • Kurang minat generasi muda untuk mewarisi pekerjaan ini daripada generasi sebelumnya.

Kebergantungan kepada sistem subsidi kerajaan juga menjadikan industri ini sangat terdedah kepada dasar fiskal dan ketidaktentuan pasaran global. Cabaran ini, dilihat sukar diatasi sehingga ke hari ini.

Kehilangan Beras Tempatan dan Ketidakseimbangan Pasaran

Isu kehilangan beras putih tempatan dalam pasaran telah menjadi tumpuan umum sejak 2022. Rak-rak di kedai runcit mahupun pasar raya kecil, seringkali dilihat kosong apabila menyentuh mengenai beras putih tempatan. Manakala di pasar raya yang besar, lebih banyak mempamerkan beras import yang lebih mahal, sedangkan pengguna mengharapkan bekalan beras tempatan yang lebih mampu milik.

Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah:

  • Pengeluaran domestik tidak mencukupi untuk menampung permintaan;
  • Keutamaan pengimport kepada beras import berbanding pengedaran beras tempatan;
  • Penyelewengan dan aktiviti penyeludupan; dan
  • Kelemahan dalam penguatkuasaan dan agihan beras putih tempatan.

Satu perkara yang tidak dapat ditolak adalah kewujudan beras putih tempatan di lokasi-lokasi sekitar sempadan negara, sebagaimana berlaku terhadap minyak masak paket. Mengapa ini berlaku? Kerana adanya permintaan. Apa yang harus kita renungkan, sampai bila keadaan ini perlu berlanjutan sedangkan golongan yang terkesan khususnya di Malaysia terpaksa akhirnya mendapatkan beras import yang harganya lebih mahal ini. Apabila kita bercakap mengenai penghasilan dan pengeluaran beras tempatan yang mencecah 2.5 juta tan metrik setahun, tetapi beras import pula yang banyak di pasaran, menjadikan rakyat tertanya-tanya adakah berlakunya aktiviti tidak sihat seperti pembungkusan semula beras putih tempatan yang ditukarkan sebagai beras import bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi, yang terang-terangan menguntungkan hanya segelintir pihak. Perkara ini seharusnya difikirkan bersama.

Import Beras Malaysia: Kebergantungan dan Risiko

Malaysia masih belum mencapai Tahap Sara Diri (SSL) yang ideal bagi beras. SSL semasa adalah sekitar 63%, manakala selebihnya bergantung kepada import beras sebanyak 800,000 hingga 1 juta tan metrik setahun.

Pada masa ini, pengeluaran padi di Malaysia masih tidak dapat menampung keperluan dan penggunaannya, Oleh yang demikian, kita masih perlu bergantung kepada import dari negara lain. Antaranya ialah Thailand, Vietnam, India dan Pakistan

Namun begitu, ketegangan geopolitik, krisis makanan global dan perubahan dasar negara pengeksport telah menjejaskan kestabilan import:

  • India, misalnya, mengenakan larangan eksport beras putih bukan basmati sejak 2023 bagi mengawal inflasi domestik;
  • Vietnam dan Thailand meningkatkan harga eksport kerana permintaan tinggi dari negara luar termasuk China dan Timur Tengah;

Gangguan ini menyebabkan kenaikan harga beras import, sekaligus memberi tekanan kepada pengguna di Malaysia. Kebergantungan kepada import menjadikan Malaysia terdedah kepada faktor luar, sekali gus mengancam keterjaminan makanan dalam jangka masa panjang.

Respons Polisi: Harga Lantai dan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021–2025

Dalam usaha memulihkan sektor padi dan menggalakkan pengeluaran tempatan, kerajaan MADANI menetapkan harga lantai belian padi sebanyak RM1,500 per tan metrik mulai 16 Februari 2025. Ini merupakan peningkatan yang amat dialu-alukan setelah sekian lama harga lantai berada pada tahap tidak kompetitif.

Sungguhpun demikian, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memainkan naratif tidak sihat apabila sengaja menggembar-gemburkan perihal harga belian padi sepatutnya boleh dijual sehingga mencecah RM1,800 per tan metrik.

Selaras dengan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021–2025, yang menyenaraikan sekuriti makanan (food security) sebagai salah satu teras keselamatan di bawah teras ketujuh (Pembangunan Mampan). DKN 2021-2025 memperincikan:

  • Makanan sebagai keperluan asas dan aset strategik negara;
  • Keperluan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan; dan
  • Sokongan kepada pengeluaran domestik, termasuk melalui digitalisasi, teknologi pertanian dan pemodenan ladang.

Kegagalan menjamin bekalan makanan boleh mencetuskan krisis sosial dan politik, termasuk ketidakstabilan ekonomi, protes atau demonstrasi, serta peningkatan kadar kemiskinan khususnya di bandar.

Kesimpulan dan Saranan

Intihanya, industri padi dan beras Malaysia terutamanya di negeri Kedah merupakan tulang belakang kepada sekuriti makanan negara. Namun, cabaran yang kompleks seperti kenaikan kos input, ketidakseimbangan pasaran, dan kebergantungan kepada import menuntut tindakan holistik.

Kerajaan MADANI juga dilihat komited untuk menjadikan industri padi dan beras sebagai tunjang utama kepada keterjaminan makanan negara. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu turut dilihat yakin matlamat itu dapat direalisasikan demi kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan sambal menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan melancarkan projek penanaman padi lima musim dua tahun yang menelan belanja RM1 bilion pada tahun ini. Ketika ini, penanaman padi masih terhad kepada dua musim setahun.

Cadangan lain yang boleh diterokai bagi memastikan sekuriti makanan, khasnya padi lebih terjamin disenaraikan seperti berikut:

  • Pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur pengairan;
  • Latihan generasi muda pesawah dan insentif penglibatan belia;
  • Peningkatan ketelusan sistem agihan beras tempatan;
  • Pemantauan harga dan kawalan aktiviti penyeludupan; dan
  • Diversifikasi varieti padi yang tahan cuaca ekstrem.

Dengan pengukuhan dasar dan kerjasama antara kerajaan, industri, dan petani, Malaysia mampu meningkatkan kadar sara diri dan mengurangkan risiko krisis makanan di masa hadapan.

 

Disediakan oleh:

Mohd Noor Hisyam bin Ab Latif

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut