KANAK-KANAK WARGANEGARA MALAYSIA TANPA DOKUMEN DISERU SERTAI PROGRAM SBJK – FADHLINA

KOTA KINABALU (18 April): Kanak-kanak warganegara Malaysia yang tidak mempunyai dokumen di negeri ini diseru untuk menyertai program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan dengan itu, satu Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Kota Kinabalu 2024 dilaksanakan bagi mencari dan menambah bilangan pelajar supaya lebih ramai kanak-kanak yang dikenal pasti datang ke sekolah dan mendapat pendidikan sewajarnya seperti pelajar-pelajar arus perdana lain.

“Justeru, SBJK ini diwujudkan bertujuan untuk anak-anak warganegara Malaysia yang tiada dokumen komited di peringkat pendidikan Malaysia dan kita berikan pendidikan kepada mereka.

”Kriteria yang diperlukan sebagai mana yang telah ditentukan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ia memang memfokuskan kepada kanak-kanak yang tidak ada dokumen pengenalan diri dan mereka adalah warganegara Malaysia, samada ibu atau ayah warganegara atau keduanya, jadi kita bagi tumpuan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bagi program outreach SBJK, Sekolah Kebangsaan Sembulan di sini pada Khamis.

Setakat ini seramai lapan orang pelajar direkodkan di negeri ini yang menyertai program SBJK di sekolah tersebut.

Fadhlina berkata, program outreach SBJK itu adalah program perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih yang telah diadakan di Chow Kit Kuala Lumpur, dan ini merupakan perluasan program yang dibuat di Kota Kinabalu.

“Kita harap program ini akan dapat dikembangkan dan mendapat sokongan dan kita juga sedang melihat keperluan-keperluan guru bagi menambah baik dari semasa ke semasa.

“Difahamkan sekolah ini bersedia untuk menambah pelajar satu kelas, sekiranya ada penambahan pada malam ini, maknanya kita sudah bersedia untuk penambahan pelajar,” ujarnya.

Menurut Fadhlina lagi, setakat ini memang ada permintaan untuk melaksanakan sekolah khas SBJK seperti di Kuala Lumpur tetapi keperluan itu bergantung kepada syarat yang sedang diteliti.

“Kalau ada keperluan dan syarat itu dipatuhi maknanya program itu akan dibuat di sekolah arus perdana dan hanya perluasan itu akan berlaku.

“Sebab itu kita tidak buat sekolah khas SBJK di Sabah seperti di Kuala Lumpur, kita hanya buat program perluasan jadi kita boleh masuk dalam sekolah-sekolah arus perdana tapi kelasnya berasingan daripada kanak-kanak yang lain,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, sebanyak 388 sekolah daif seluruh negara yang sedang dinaiktaraf dan dibaiki melibatkan keperluan lebih RM3 bilion.

“Jadi kita harap semua yang kita rancang dapat kita segerakan khususnya supaya anak-anak dapat belajar dalam suasana yang kondusif,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Sabah Media

 

Artikel/Berita Terkini

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut