KUANTAN, 01 FEBRUARI 2024 : Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM50,000 kepada seorang lelaki selepas mengaku bersalah melombong pasir sungai secara haram di Kampung Sungai Perdak, Bentong pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Lam Kong Foo, 53, turut berdepan hukuman 12 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda seperti mana yang diperintahkan Hakim, Noor Aisah Mohamed.
Noor Asiah dalam prosiding berkenaan turut memerintahkan kesemua jentera yang disita pada masa kejadian dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut fakta kes, berdasarkan risikan dan serbuan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) lebih kurang 7 pagi, pihak UPNP telah menahan dua pemandu jengkaut iaitu Lim Chen Soo, 64, dan Jong Bui Kong, 51, yang sedang mengorek dan menggali pasir sungai menggunakan dua buah jengkaut di atas kawasan dikenalpasti sebagai tanah kerajaan.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua pemandu jengkaut berkenaan telah menerima arahan daripada tertuduh bagi melakukan kerja-kerja menggali serta memindahkan pasir sungai di kawasan tersebut.
Semakan oleh pihak UPNP juga mendapati sebuah jengkaut yang digunakan ketika serbuan dilakukan didaftarkan di bawah Syarikat Bluebros Concrete Sdn. Bhd. milik tertuduh, manakala sebuah lagi jengkaut didaftarkan di bawah sebuah syarikat lain yang dipinjamkan kepada tertuduh.
Pemeriksaan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati kawasan penggalian dan lokasi jengkaut berada di atas tanah kerajaan danΒ tidak berada di dalam mana-mana lot yang diukur halus.
Pegawai Pendakwa dari UPNP, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
SUMBER : PAHANG MEDIA