JPJ MELAKA TAHAN LORI TAKTIK SELEWENG DIESEL

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah lori yang diubah suai dengan dilengkapi tangki khas dipercayai untuk tujuan penyelewengan diesel malam tadi.

Lori jenis ‘bonded’ atau tertutup dan dipandu seorang lelaki berusia lewat 30-an itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Paya Rumput, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pemeriksaan menemukan tangki kosong dipercayai untuk mengisi diesel dengan kapasiti mencecah 3,000 liter.

“Susulan itu, kita menyita lori berkenaan untuk pemeriksaan lanjut teknikal selain dirujuk kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka untuk siasatan berkaitan muatan disyaki diesel yang dibawa.

“Semakan juga mendapati pemandu tidak memiliki lesen kenderaan barangan (GDL) dan dipercayai dalam perjalanan untuk mengisi diesel di stesen minyak berdekatan,” katanya selepas mengetuai operasi itu.

Lori terbabit antara tiga kenderaan disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Melaka, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Mengulas operasi itu, Muhammad Firdaus berkata 755 kenderaan termasuk 425 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu 132 kenderaan diambil tindakan.

“Sejumlah 275 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti Lesen Kenderaan Motor dan insurans tamat tempoh (142 kes), tiada lesen memandu (73), kesalahan teknikal termasuk cermin gelap (21 kes) serta lain-lain kesalahan (20).

“Tiga kenderaan termasuk lori disita selain kita mengesan ada pemandu dan pemilik bas melakukan kesalahan seperti tiada kotak kecemasan dan tanda bahaya yang wajib ada untuk kenderaan perdagangan.

“Pemeriksaan juga mendapati pemandu tidak mempunyai permit sepatutnya seperti permit perjalanan dan jadual tanda harga perjalanan bagi bas,” katanya.

 

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut