LIMA’23 DIJANGKA MERIAH SETELAH TERTANGGUH AKIBAT PANDEMIK COVID-19

LANGKAWI – Pembukaan rasmi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) kali ke-16 telah diadakan setelah tertangguh pada tahun 2021 akibat Pandemik Covid-19 melanda dunia.
Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata lebih 400 pegawai tertinggi daripada kerajaan dan angkatan tentera dari seluruh dunia hadir ke LIMA kali ini dan berharap ianya dapat memudahkan dialog bertujuan untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan bersama.
“LIMA dilihat sebagai tempat untuk memupuk hubungan yang sangat penting di antara negara kita dengan negara lain. Selama lebih tiga dekad, LIMA telah berjaya mengukuhkan dirinya sebagai pameran aeroangkasa dan maritim terulung di rantau Asia Pasifik.
“Sejak negara mengadakan pertama kali LIMA pada tahun 1991, hanya 100 peserta pameran yang telah mengambil bahagian. Tahun ini, pameran ini dilihat yang terbesar dengan penyertaan kira-kira 525 pempamer dari seluruh dunia.
“Apa yang menggembirakan, kita mempunyai sekitar 240 syarikat pertahanan dari Malaysia yang mengadakan pameran serta menawarkan perkhidmatan terbaik mereka kepada negara luar. Adalah menjadi harapan saya agar mereka dapat merebut peluang baru dalam pasaran dinamik Asia Pasifik ini untuk terus menyumbang kepada keselamatan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Pembukaan Rasmi LIMA’23 di Langkawi International Convention Centre di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Dalam perkembangan yang sama, Mohamad berkata LIMA telah menjadi salah satu acara yang paling dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh pemain industri dan pasukan pertahanan, tetapi juga oleh orang ramai.
“Sebanyak 41 kapal dari 13 negara akan dipamerkan di Resorts World Langkawi. Pelawat tahun ini akan dapat mendekati kapal bukan sahaja di jeti, malah yang berlabuh di tengah laut.
“Apa yang menarik perhatian adalah pertunjukan udara yang menyaksikan kemahiran mengendalikan pesawat terbang yang luar biasa dengan aksi aerobatik daripada lima pasukan aerobatik tentera yang mengambil bahagian.
“Semua ini telah mengukuhkan reputasi LIMA sebagai salah satu daripada pertunjukan udara dan laut terkemuka di dunia. Secara keseluruhannya, kita menjangkakan lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pelawat awam akan hadir memeriahkan lagi LIMA pada kali ini,” ujarnya.

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …