PERSANDINGAN MADANI LIMA ‘PENGANTIN LAMA’ PELBAGAI KAUM

JELEBU – Menjadi rezeki buat lima pasangan ‘pengantin lama’ apabila berpeluang bersanding buat kali kedua dalam majlis Persandingan Madani sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Daerah Jelebu di sini pada Sabtu.

Majlis yang diadakan di Dewan D’Sury Kuala Klawang itu dianjurkan oleh pentadbiran kerajaan daerah Jelebu dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir.

Pasangan yang diraikan ialah Nor Izzati Munirah Rozaidi, 28, dan Muhammad Izzat bin Zakaria, 31; Muhammad Najmi Baharom, 24 dan Rafisha Natasya Rahimi, 25; serta Muhd Alif Kushairu Bin Hasli, 28, dan Nurul Syuhada Binti Jaafar, 30.

Selain itu M S Hervindraan 31, dan R Balambigai, 29 serta Nicholas Teng, 30, dan Helina Fong, 34.

Menurut Bakri, majlis berkenaan dianjurkan sebagai inisiatif menterjemahkan konsep Madani sekali gus menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Walaupun berlainan bangsa tetapi kita boleh hidup dalam suasana perpaduan yang erat dan inilah keunikannya Malaysia.

“Jika majlis sebegini dapat dijadikan sebagai tarikan pelancong, kita bercadang menjadikan ia sebagai acara tahunan di daerah Jelebu,” katanya.

Jelasnya, kesemua pasangan berkenaan telah pun diijabkabulkan sebelum ini tetapi hanya berpeluang mengadakan majlis secara ala kadar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurut Nor Izzati, penyertaannya dalam majlis persandingan tersebut menjadi kenangan terindah kerana ia berlangsung pada sambutan ulang tahun kedua perkahwinannya.

“Saya dan suami terpaksa bernikah di pejabat kadi pada 21 Mei 2021 kerana ketika itu negara masih berada dalam tempoh PKP.

“Selepas beberapa bulan bernikah baharulah kami adakan majlis perkahwinan. Tapi bila ibu beritahu kami dijemput untuk sertai persandingan Madani itu, saya dan suami tak fikir panjang untuk sertai kerana ia tarikh ulang tahun perkahwinan kami,” katanya.

Hervindraan yang bekerja sebagai juruteknik pula berkata, program itu amat baik kerana dapat mengumpulkan pelbagai kaum sambil melihat keunikan budaya perkahwinan masing-masing.

Tambahnya, ia menjadi faktornya dan isteri tidak menolak apabila diberi peluang untuk bersanding kali kedua.

Sementara itu majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

HEBAT: RAKYAT MELAKA PUAS DAPAT BERTEMU PEMIMPIN LUAH MASALAH

Seri Negeri – Rakyat Melaka meluahkan rasa syukur dan gembira apabila diberikan peluang bertemu pemimpin secara langsung pada Hari Ahli …

OPERASI LORONG KOSONG (Ops LOKOS) MBMB

Melaka Tengah – Operasi Lorong Kosong (Ops LOKOS) MBMB Bil. 21 Tahun 2025 anjuran Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya MBMB …

SARAPAN BUKAN SEKADAR MAKAN – IA PELINDUNG KESIHATAN ANDA

Sarapan Bukan Sekadar Makan – Ia Pelindung Kesihatan Anda! Ramai yang abaikan sarapan sebab sibuk. Tapi sarapan penting untuk: 🔋 …