BURUH PAKSA: JTK NEGERI SEMBILAN SELAMATKAN PEMBANTU RUMAH INDONESIA

SEREMBAN: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan telah berjaya menyelamatkan seorang Pembantu Domestik Indonesia (PDI) menerusi satu operasi yang dijalankan di sebuah rumah di Port Dickson, kelmarin.

Menurut Pengarah JTK Negeri Sembilan, Roslan Bahari, operasi dikenali sebagai Op Sauvetage (Menyelamat) itu dilakukan selepas aduan diterima daripada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur yang memaklumkan terdapat seorang pembantu rumah rakyat negara itu yang berkemungkinan telah dieksploitasi oleh majikan.

Jelas beliau, susulan itu, risikan telah dijalankan dan mendapati bahawa memang terdapat seorang pembantu rumah yang berada di lokasi yang dimaklumkan oleh pihak KBRI.

Pada pukul 9.30 malam 17 April lalu, satu operasi seterusnya dilakukan oleh pihak JTK dan berjaya menemui seorang wanita berusia 40 tahun yang mengaku sebagai mangsa seperti dimaklumkan pihak kedutaan.

Hasil siasatan mendapati, mangsa mula bekerja dengan majikan sejurus sahaja sampai ke Malaysia pada bulan Oktober 2022.  Pada mulanya, gaji mangsa tidak dibayar dari bulan November sehingga Disember 2022 atas alasan membayar balik kos membawa mangsa masuk ke negara ini namun gaji dibayar penuh bermula bulan Januari lalu.

Siasatan lanjut mendapati keadaan yang menimpa mangsa menunjukkan wujudnya indikator buruh paksa di mana mangsa tidak bebas sama ada dalam rumah mahupun ke luar rumah. Urusan permit juga dilewatkan sebagai langkah mengelakkan mangsa lari dan ini merupakan suatu tindakan manipulasi yang menakut-nakutkan mangsa

Selain itu, mangsa tidak dibenarkan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam apabila tidak dibenarkan solat, berpuasa dan dipaksa memakan daging tidak halal sedangkan majikan cakna akan agama yang dianuti oleh mangsa.

Mengambil kira kesemua elemen tersebut, mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Kuala Lumpur sementara menunggu tindakan selanjutnya iaitu untuk menghantar mangsa pulang ke negara asal dengan kerjasama pihak kedutaan.

Hasil siasatan lanjut, mangsa mendakwa pada awalnya ditawarkan sebagai untuk bekerja sebagai tukang cuci namun apabila tiba di negara ini dia perlu melakukan kerja sebagai pembantu rumah kepada majikannya itu dan perlu bekerja sehingga 16 jam selain turut mengemas rumah kenalan majikannya yang terletak di sekitar kawasan itu.

Susulan itu, majikan mangsa berusia 47 tahun yang tinggal di Kuala Lumpur, dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2022).

Operasi ini perlu didedahkan supaya masyarakat khususnya majikan tahu mengenai isu buruh paksa ini. Kemungkinan masyarakat menganggap perkara ini biasa tetapi apabila kita mengaitkan dengan beberapa indikator, apa-apa tindakan yang jatuh di bawah indikator tersebut boleh tergolong dibawah kesalahan buruh paksa.

 

Sumber : UTUSAN.

 

Artikel/Berita Terkini

BISKUT RAYA SERENDAH RM13 SEBALANG

Pengalaman hidup susah sehingga tidak mampu membeli kuih raya pada zaman kanak-kanaknya, mendorong seorang pengusaha biskut dan kek menjual pelbagai …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐊𝐓𝐈𝐕𝐈𝐓𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐀𝐓𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐏𝐃𝐍

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Pihak KPDN …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗚𝗘𝗥𝗔𝗞 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut