APMM PATAHKAN SINDIKET PENYELUDUPAN ROKOK BERNILAI RM3.3 JUTA

KUALA LINGGI 13 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok bernilai RM3.3 juta dari Indonesia ke perairan Malaysia apabila merampas sebuah bot pancung di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, rampasan itu hasil daripada maklumat orang awam serta bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang berjaya mengesan bot pancung dengan enam enjin 200 kuasa kuda bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan ‘Traffic Separation Scheme’ (TSS) ke Tanjung Gabang pada jam 10.20 malam. Katanya, hasil maklumat dan risikan itu, seramai lima anggota dengan sebuah bot aset Maritim Malaysia bergegas ke lokasi dan berjaya mengesan bot dipandu suspek di kawasan itu.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, suspek dilaporkan bertindak memecut laju untuk meloloskan diri dan berlaku kejar-mengejar selama hampir 30 minit. Bagaimanapun, bot dipandu suspek terkandas di kawasan paya bakau pada kedudukan 0.05 batu nautika barat laut Tanjung Gabang, Selangor. Ketika menghampiri bot terbabit, tekong dan awak-awak yang berada dalam bot berkenaan sempat terjun dan meloloskan diri ke kawasan paya bakau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di sini hari ini dan turut dihadiri Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak.

Mengulas lanjut, Saiful Lizan berkata, pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran menemukan 455 kotak bersaiz besar mengandungi rokok kretek dan ditutup dengan kain kanvas.

“Dalam kesemua kotak rokok yang dirampas, sebanyak 4.8 juta batang rokok ditemukan dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM3.3 juta. Kesemua rokok kretek berkenaan dipercayai diseludup masuk dari Indonesia untuk dijual secara haram di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu semua rampasan termasuk bot pancung terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu menyeludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Susulan kejayaan itu, Maritim Malaysia memperketatkan kawalan di perairan negara dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut seperti penyeludupan kontraband dan barangan kawalan, penyeludupan serta kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman jenayah yang dilakukan di kawasan maritim negara, malah kita mengoptimumkan pengoperasian dengan melakukan rondaan di kawasan ‘hotspot’ khususnya pada musim perayaan Aidilfitri,” katanya.

#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama

SUMBER: MELAKA HARI INI

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut