SYOR BAWA BEKAS MAKANAN KE BAZAR RAMADAN

SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengesyorkan orang ramai supaya membawa bekas makanan dan minuman ketika berbelanja di bazar Ramadan, sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan plastik.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata bahan plastik adalah antara bahan yang sukar untuk terurai dan memerlukan tempoh masa yang panjang sekali gus menyumbang kepada janaan sisa mikroplastik.

Katanya, penggunaan bahan plastik bagi membungkus makanan dan minuman ketika Ramadan begitu ketara dalam kalangan pengguna, malah meningkat berkali ganda terutama di bazar Ramadan.

“Keadaan ini boleh menyumbang kepada peningkatan janaan sisa plastik, namun bahan plastik adalah bahan yang sukar untuk terurai dan memerlukan tempoh masa yang panjang.

Sebagai langkah mengurangkan penggunaannya, diharap orang ramai boleh membantu dengan membawa bekas makanan dan minuman sendiri ketika berbelanja di bazar Ramadan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Norlisam berkata, amalan membawa bekas makanan sendiri juga suatu langkah berjimat cermat dan bersederhana selain dapat memulakan amalan gaya hidup hijau dalam kehidupan harian.

“Mereka boleh melakukan dengan membilas dan membersihkan semula bungkusan plastik sebagai salah satu inisiatif mengurangkan penggunaannya.

“Sisa plastik yang dibilas juga boleh dikitar semula dan dalam masa sama dapat memberikan insentif pulangan tunai kepada orang ramai melalui program kitar semula, KITARecycle,” katanya.

Menurut Mohd Norlisam, sehingga akhir Februari lalu, terdapat seramai 7,463 ahli aktif KITARecycle di Negeri Sembilan dengan berjaya mengumpulkan sejumlah 13,169-kilogram sisa plastik.

Katanya, program KITARecycle bukan sahaja menumpukan peluang kitaran ekonomi setempat, bahkan dapat memberikan manfaat kepada negara untuk mencapai kadar kitar semula negara sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025.

“Mengikut kajian komposisi sisa pepejal oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun 2020, sebanyak 22.7 peratus sisa plastik dijana oleh orang ramai manakala sisa makanan pula 34.5 peratus dan lampin (12.8 peratus),” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

KAPAL LAYAR KAYU TERBESAR DUNIA BERLABUH DI MELAKA

Pantai Kundur – Sebuah kapal layar kayu tradisional terbesar di dunia selamat berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, sebagai …
Maklumat Lanjut

APAKAH AKAUN 3 KWSP (AKAUN FLEKSIBEL)

Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP adalah akaun baharu yang terdiri daripada 10% jumlah simpanan ahli. Akaun ini bertujuan untuk …
Maklumat Lanjut

TINDAKAN KES DIHASILKAN DIBAWAH AKTA CAP DAGANGAN 2019

RANTAU PANJANG : Pegawai Penguat Kuasa KPDN, Kelantan telah menerima serahan kes daripada Batalion 7 Pasukan Gerakan AM berkaitan membanteras …
Maklumat Lanjut