TINTA BICARA HARI MALAYSIA: KENALI WILAYAH PERSEKUTUAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3: KESEPADUAN NASIONAL (SEMANGAT KENEGARAAN)

 

Latar Belakang Wilayah Persekutuan

Wilayah Persekutuan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Dari ketiga-tiga bahagian ini, Kuala Lumpur merupakan ibu negara rasmi Malaysia, Labuan merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC), manakala Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Persekutuan dan ibu negara pentadbiran Malaysia. Tidak seperti negeri-negeri lain, Wilayah Persekutuan tidak ditadbir dan diperintah oleh mana-mana Kerajaan Negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan diperintah oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia dan bandar raya pertama di Malaysia. Ia terletak di pantai barat tengah Semenanjung Malaysia dengan keluasan 243.65 km persegi.  Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tanggal 1 Februari 1974 melalui ‘Perjanjian Kuala Lumpur 1974’. Bermula dari tarikh tersebut, pentadbiran Kuala Lumpur dipindahkan dari negeri Selangor kepada Kerajaan Pusat dan diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku Pihak Berkuasa Tempatan tunggal.

Wilayah Persekutuan Labuan merupakan wilayah persekutuan kedua Malaysia, merangkumi keseluruhan Pulau Labuan seluas 91 km persegi dan terletak lebih kurang 10 km dari pantai negeri Sabah. Wilayah ini diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 dan dikatakan mendapat namanya dari perkataan pelabuhan atau ‘labuhan. Wilayah ini diuruskan oleh Perbadanan Labuan selaku Pihak Berkuasa Tempatan tunggal yang ditubuhkan hasil penggabungan dua entiti, Pembangunan Labuan dan Majlis Perbandaran Labuan.

Wilayah persekutuan ketiga Malaysia, iaitu Putrajaya telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001. Putrajaya yang sebelumnya merupakan kawasan Prang besar di dalam daerah Sepang, Selangor mendapat namanya sempena memperingati Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan pengisytiharaannya sebagai Wilayah Persekutuan, Putrajaya tidak lagi menggunakan bendera negeri Selangor, sebaliknya menggunakan benderanya sendiri iaitu Bendera Wilayah Persekutuan Putrajaya.  Wilayah ini diuruskan oleh Perbadanan Putrajaya selaku Pihak Berkuasa Tempatan tunggal yang bertanggungjawab ke atas kawasan seluas 49.31 km persegi.

 

Bendera Wilayah Persekutuan

Bendera Wilayah persekutuan mempunyai tiga jalur melintang berwarna kuning, biru dan merah. Warna kuning membawa maksud kedudukan yang dihormati, dimuliakan dan kedaulatan, warna biru membawa maksud perpaduan, keikhlasan, dimuliakan dan kedaulatan manakala warna merah membawa maksud semangat waja, kekuatan, keberanian dan bertenaga. Ditengah-tengah bendera, terletaknya Jata Negara iaitu lambang harimau berjuang. Tiga bintang yang terletak di bawah Jata Negara membawa maksud tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bernaung dan mendokong Wilayah Persekutuan.

Lirik Lagu Wilayah Persekutuan

Inilah wilayah bumi yang bertuah
Maju membangun dijulang megah
Aman sentosa disepanjang masa
Teguh disemai sentiasa
Membara semangat setiap warganya
Cergas mindanya semangat waja
Pada wilayah ditumpah setia
Hormat hormati penuh mesra
Bersatulah
Berbaktilah
Semua warga wilayah
Sayangilah
Lindungilah
Sepenuh jiwa raga
Kita jaga keharmonian semua
Maju sejahtera
Wilayah Persekutuan

Artikel/Berita Terkini

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut

PENGETAHUAN CPR MASIH RENDAH DIKALANGAN MASYARAKAT KITA

Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam kalangan masyarakat  di negara ini masih rendah meskipun bilangan kes kematian mengejut dilaporkan …
Maklumat Lanjut

DASAR TRANSFORMASI DIGITAL, PELAN NTER DAN NIMP 2030 BANTU PELABUR MELIHAT KEKUATAN YANG ADA PADA MALAYSIA

DASAR TRANSFORMASI DIGITAL, PELAN NTER DAN NIMP 2030 BANTU PELABUR MELIHAT KEKUATAN YANG ADA PADA MALAYSIA Datuk Seri Anwar Ibrahim …
Maklumat Lanjut