Tanggal 24 Mac 2021 yang lalu telah memahatkan suatu lipatan sejarah baru buat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana Angkatan ini telah menyambut ulang tahun penubuhannya untuk kali ke-69. Majlis sambutan ini diserikan lagi dengan perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat APM yang terletak di Sungai Merab, Kajang, Selangor oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin.
Jika ditelusuri sejarah, aktiviti pertahanan awam di Malaysia mula dirintis oleh pihak British Passive Defence seawal tahun 1939 lagi di bawah Emergency Regulation Enactment Chapter 41 sebagai inisiatif untuk menghadapi peperangan Dunia Kedua. Kemudian, Ordinan Pertahanan Awam 1951 telah digubal untuk dijadikan undang-undang rasmi bagi sistem keselamatan di Tanah Melayu. Rentetan daripada itu, Jabatan Pertahanan Awam mula ditubuhkan secara rasmi pada 24 Mac 1952. Selepas negara ini merdeka, Ordinan ini ditukar menjadi Akta Pertahanan Awam (Akta 221).
Menurut takrifan Akta 221 ini, APM bertanggungjawab memperkasa kesiapsagaan awam dalam dua keadaan iaitu semasa peperangan dan juga semasa aman. Justeru, berbekalkan moto “SEDIA PANTAS BERINTEGRITI”, APM menyasarkan tiga objektif iaitu mengurangkan risiko akibat bencana, memberikan respons terhadap sesuatu bencana dan membekalkan perkhidmatan pemulihan.
Fungsi dan peranan APM dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam semakin duji sejak menularnya pandemik COVID-19 ke negara ini pada bulan Februari 2020. Sehubungan itu, Hari Pertahanan Awam Tahun 2021 ini adalah sejajar dengan Pelan Strategik 2021 – 2025 APM yang telah dirangka untuk menggariskan hala tuju bagi tempoh lima (5) tahun yang mendatang.
Pengiktirafan APM selaku petugas barisan hadapan dalam mendepani cabaran bencana alaf baharu ini telah mengangkat imej APM di mata Kerajaan dan rakyat. Antara jasa dan sumbangan APM adalah seperti menguruskan pusat kuarantin di seluruh negara, rondaan omnipresence, pengagihan makanan di kawasan PKPD, libat urus bersama-sama agensi lain dalam pelaksanaan dan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penugasan bantuan Op Benteng serta tugasan-tugasan lain yang berkait rapat dengan pengurusan dan pemulihan sesuatu bencana.
Konklusinya, fungsi dan peranan penting APM buat negara ini tidak dapat disangkal lagi. Justeru, diharapkan melalui sambutan ulang tahun Pertahanan Awam Tahun 2021 dan Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Baharu ini berupaya menyuntik semangat baru buat seantero warga APM agar terus memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan Angkatan ini demi menjamin keamanan, kesejahteraan awam dan kualiti hidup rakyat ke tahap yang optimum.
Gambar Ihsan : FB Pejabat Negeri APM Wilayah Persekutuan