PUTRAJAYA: Malaysia melakar pencapaian baik dalam menilai indikator gender yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya berkaitan Matlamat 5 (Lima) yang fokus kepada mencapai kesaksamaan gender.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), daripada 54 indikator gender merentasi semua matlamat SDG, 44 petunjuk tersedia, enam petunjuk sebahagian tersedia dan perlu dibangunkan serta masing-masing dua petunjuk kekal tidak tersedia dan tidak relevan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan 52 petunjuk indikator gender yang relevan untuk Malaysia, negara telah mencapai 84.6 peratus ketersediaan di Malaysia.
“Bagi indikator 5.5.2, peratusan wanita dalam jawatan pengurusan meningkat 25.4 peratus pada 2023 berbanding 23.8 peratus pada 2022, menunjukkan kemajuan ke arah memastikan penyertaan wanita dan peluang kepimpinan dalam pelbagai sektor.
“Kemajuan itu menunjukkan komitmen Malaysia meningkatkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita serta kanak-kanak perempuan seperti diterjemahkan dalam pelbagai dasar negara dan komitmen antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DOSM mengeluarkan laporannya mengenai Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2024, iaitu siri kelapan sejak 2017.
Laporan memperihalkan statistik berkaitan gender yang memfokuskan set teras indikator gender merangkumi 11 domain yang disediakan berdasarkan data terkini diperoleh daripada DOSM dan pelbagai agensi.
Mohd Uzir berkata, Malaysia sentiasa berdedikasi untuk mencapai kesaksamaan gender dan mempromosikan hak wanita serta kanak-kanak perempuan sambil mengiktiraf peranan penting wanita dalam masyarakat.
Usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam mencapai kesaksamaan jantina adalah selaras dengan SDG dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Sementara itu, beliau berkata, Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan skor purata 0.705 atau 70.5 peratus pada 2023 berbanding 0.709 atau 70.9 peratus pada 2022.
Berdasarkan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2024 itu, negeri yang mencatatkan tiga skor tertinggi dalam MGGI ialah Kuala Lumpur (0.776), Putrajaya (0.773) dan Labuan (0.756).
Tujuh negeri mencatatkan skor MGGI melebihi paras nasional, iaitu Kelantan (0.737), Negeri Sembilan (0.718), Melaka, Selangor dan Sabah (0.715), Perak (0.711) dan Kedah (0.707).
Mohd Uzir berkata, terdapat enam negeri yang mencatatkan skor MGGI di bawah purata nasional, iaitu Pahang (0.702), Perlis (0.701), Pulau Pinang (0.700), Terengganu (0.693), Sarawak (0.689) dan Johor (0.686).
MGGI mengenal pasti jurang di antara wanita dan lelaki dalam empat subindeks merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan dan penguasaan politik.
Skor nilai 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan di antara wanita dan lelaki telah dicapai.
SUMBER: BERITA HARIAN