KEKURANGAN PUSAT RAWAT KANSER TAMBAH PENDERITAAN PESAKIT

KUALA LUMPUR: Kekurangan fasiliti kesihatan khusus bagi merawat kanser dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, menyebabkan ada pesakit terpaksa menempuh perjalanan sehingga 300 kilometer (km), selain dibelenggu beban kewangan membiayai kos pengangkutan.

Mendedahkan demikian, Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE) merekodkan ada keluarga pesakit kanser dari negeri yang jauh dari ibu negara terpaksa menyewa kenderaan untuk ke Lembah Klang menghantar anak mereka mendapatkan rawatan.

Lebih tragis, ada keluarga memilih perubatan alternatif seperti rawatan tradisional yang boleh memberi kesan buruk kepada pesakit, manakala peratusan untuk sembuh dikhuatiri menjadi lebih rendah kerana lambat mendapatkan rawatan.

Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan lebih 700 kanak-kanak berusia bawah 15 tahun di negara ini didiagnosis dengan kanser setiap tahun atau secara purata dua kanak-kanak setiap hari.

Untuk khidmat rawatan, Malaysia hanya mempunyai 128 pakar onkologi berdasarkan rekod setakat dua tahun lalu, sebahagian besarnya berkhidmat dengan KKM, selebihnya di hospital universiti.

Onkologi adalah cabang perubatan berkait kajian, rawatan, diagnosis dan pencegahan kanser.

Mengulas kesukaran dihadapi kanak-kanak pesakit kanser, Presiden CAKNE, Mohd Shah Awaluddin, berkata beban ditanggung mereka kerana tiada pusat rawatan kanser untuk kumpulan pesakit berusia 19 tahun dan ke bawah di Melaka, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

Kemudahan itu, katanya, hanya ada di Lembah Klang; Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Johor Bahru, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kuching, Sarawak dan di Likas, Sabah.

“Di Lembah Klang, ada tiga hospital kanser kanak-kanak, namun tiada di beberapa negeri lain seperti Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Jika pesakit di Jerantut contohnya, mereka terpaksa menempuh perjalanan ratusan kilometer untuk ke Kuala Lumpur.

“Berdasarkan kes yang kita bantu sebelum ini, ada pesakit terpaksa sewa kereta kerana tiada kenderaan. Dalam sesetengah kes, disebabkan kekurangan akses rawatan, ada keluarga lambat menghantar anak mereka ke hospital.

“Lebih buruk, ada mendapatkan perubatan alternatif untuk anak mereka seperti rawatan tradisional. Ia memberi kesan buruk kepada pesakit, termasuk peratusan untuk sembuh menjadi lebih rendah kerana lambat mendapatkan rawatan,” katanya kepada BH.

Katanya, sekurang-kurangnya 800 keluarga kanak-kanak pesakit kanser kurang berkemampuan sudah dibantu persatuan itu setakat ini dalam bentuk bayaran tambang antara RM300 hingga RM400 setiap kes bagi meringankan beban mereka membawa anak berulang-alik mendapatkan rawatan.

 

Sumbangan RM350 sebulan

Selain itu, Mohd Shah berkata, CAKNE yang ditubuhkan pada 2008 sebagai kumpulan sokongan kepada ibu bapa mempunyai anak menghidap kanser, turut menyalurkan sumbangan sara hidup RM350 sebulan selama enam bulan untuk kumpulan sasar dalam kalangan B40.

“Ia untuk tampung kos makan minum dan penginapan jika ahli keluarga terpaksa tunggu anak jalani rawatan atau dimasukkan ke wad. Memang ada hospital sediakan asrama, tapi jumlahnya tidak cukup,” katanya berharap akses rawatan kanser kepada kanak-kanak dapat diperluaskan.

Tidak teruskan rawatan

Sementara itu, Pakar Perunding Hemotologi dan Onkologi Pediatrik, Hospital Tunku Azizah (HTA), iaitu hospital wanita dan kanak-kanak di sini, Dr Zulaiha Muda, berkata sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan kes baharu kanak-kanak menghidap kanser memilih tidak meneruskan rawatan di hospital.

“Ada yang mahu cuba kaedah alternatif terlebih dahulu. Bermaksud masih banyak program kesedaran perlu diusahakan supaya ibu bapa hantar anak ke hospital,” katanya.

Beliau percaya banyak lagi kes kanser membabitkan pesakit kanak-kanak tidak dirujuk ke hospital kerana keluarga membawa mereka menjalani rawatan alternatif.

Katanya, selain terpengaruh dengan janji proses rawatan yang mudah dan kesembuhan, alasan lain diberikan mereka yang mencuba kaedah alternatif adalah tidak mahu melalui tempoh rawatan yang panjang dan risiko disebabkan prosedur mencucuk tulang belakang jika ke hospital.

“Ada yang anggap prosedur cucuk tulang belakang akan menyebabkan lumpuh, sedangkan stigma itu tidak betul. Lewat mendapatkan rawatan sebenarnya boleh menyebabkan risiko kanser merebak ke otak dan saraf tunjang, yang sebenarnya menyebabkan lumpuh.

“Selain itu, ada juga memilih kaedah alternatif terlebih dahulu dan apabila kanser sudah teruk, baru dibawa ke hospital. Mereka perlu tahu kanser merebak dengan agresif dan cepat dalam tempoh beberapa hari sahaja, justeru rawatan perlu diberikan segera,” katanya.

Dr Zulaiha berkata, di negara ini, kadar kesembuhan kanser membabitkan pesakit kanak-kanak, khususnya leukemia merekodkan jumlah diagnosis tertinggi sebanyak 88.4 peratus, namun jangka hayat mereka selepas pulih lebih lama berbanding pesakit dewasa atau geriatrik.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini dilaporkan mengakui negara berdepan kekurangan akses kepada rawatan kanser untuk rakyat berpendapatan rendah dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Julai lalu, KKM memaklumkan kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat 64.1 peratus antara 2017 hingga 2021 berbanding 63.7 peratus antara 2012 hingga 2016, perkembangan membimbangkan kerana kadar kelangsungan hidup menjadi lebih rendah jika kanser dikesan lewat.

Peningkatan itu secara tidak langsung menyaksikan Malaysia kini berdepan dengan beban kanser yang sangat besar. Ia disifatkan penyakit kronik yang menjadi penyebab ketiga kematian dengan 15,200 kes pada 2022.

Dari 2017 hingga 2021, 10 jenis kanser paling kerap dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia, disenaraikan mengikut keutamaan adalah kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasopharynx, kanser rahim dan kanser ovari.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …