KEBUN SAYUR HARAM DI HUTAN SIMPAN ULU BERTAM DIMUSNAHKAN DALAM OPERASI BERSEPADU

CAMERON HIGHLANDS: Kegiatan penanaman haram pelbagai jenis sayuran di kawasan seluas lebih 0.5 hektar di Hutan Simpan Ulu Bertam di sini, berakhir apabila dimusnahkan dalam operasi bersepadu, kelmarin.

Operasi pemusnahan bersepadu selama lima jam bermula sembilan pagi itu digerakkan oleh Unit Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Grippin Akeng, berkata operasi itu dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat sebelum tinjauan dilakukan anggota penguat kuasa yang mengesan terdapat kebun sayur dalam kawasan hutan simpan itu.

Katanya, anggota risikan yang memasuki kawasan itu menemui kebun dengan tanaman kacang buncis dan bawang dipercayai diusahakan oleh seorang penduduk tempatan yang menggunakan tiga pekerja warga asing.

“Ketika serbuan dilakukan tiga pekerja warga asing yang terbabit mengusahakan kebun berkenaan sempat melarikan diri, mereka dipercayai terlebih dahulu menghidu pergerakan operasi yang dilakukan.

“Semua tanaman sayur, stor baja dan pondok tempat tinggal pekerja dimusnahkan bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak terus berulang, kemudian kita pulihkan kawasan terbabit dengan menanam tanaman sesuai di tanah tinggi seperti pokok jenis gerok.

“Operasi bersepadu tanah tinggi Cameron Highlands diadakan dari masa ke semasa untuk memastikan aktiviti menanam sayur dalam kawasan hutan simpan tidak terus berlaku,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, tindakan tegas memusnahkan tanaman sayuran perlu diambil kerana ia menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 32 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

Grippin berkata, operasi kali ini diketuai Pegawai Hutan Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi bersama 24 anggota penguat kuasa PHD Cameron Highlands, PDRM dan UPNP.

Beliau berkata, pihaknya tidak pasti bila kawasan pertanian terbabit mula diteroka, penemuan kawasan ceroboh itu selepas semakan imej Forest Monitoring by Remote Sensing (FMRS) pada 9 Julai lalu, selain tinjauan secara berkala kakitangan PHD Cameron Highlands yang membuat rondaan setiap bulan.

Tambahnya, permintaan tinggi terhadap sayuran tanah tinggi Cameron Highlands menjadi faktor utama kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini terus berlaku walaupun tindakan penguat kuasaan dilakukan secara berterusan.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat dalang tempatan yang menggunakan warga asing sebagai buruh pertanian sepenuh masa, hasil pertanian dipasarkan oleh individu terbabit.

“Jabatan terus meningkatkan pemantauan di beberapa kawasan hutan simpan di daerah ini seperti Hutan Simpan Ulu Bertam, Hutan Simpan Batu Gangan, Hutan Simpan Sungai Wi dan Hutan Simpan Terisu bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita akan terus menggunakan kemudahan FMRS dan dron bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar untuk kakitangan penguat kuasa sampai,” katanya yang mengharapkan kerjasama masyarakat setempat.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …