KUALA LUMPUR: Seorang individu bergelar Datuk antara 55 yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan terhadap sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) haram pada 5 Ogos lalu.
Serbuan itu dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap tujuh kilang e-waste di empat negeri.
Lokasi serbuan dijalankan di Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan dan Simpang Renggam, Johor.
Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata tangkapan Op E-Waste membabitkan 10 warga tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.
Warga tempatan ini dipercayai berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis (kilang) dengan nilai puluhan ribu ringgit.
“Warga asing yang ditahan pula memainkan peranan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain juruteknik.
“Operasi fasa pertama ini mengesan kilang-kilang ini telah beroperasi sejak 2023 dengan mendapatkan bahan e-waste dari sebuah negara di Asia,” katanya hari ini.
E-waste diproses jadi jongkong
Beliau berkata, e-waste ini diproses menjadi jongkong dan blok logam dengan nilai mencecah RM70,000 satu unit sebelum diseludup semula ke luar negara.
Kilang tanpa lesen dan tidak berdaftar yang mengaut untung jutaan ringgit ini juga dikesan menggajikan warga asing sebagai pekerja.
“AMLA menyita dan merampas pelbagai aset seperti pallet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta.
“Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian,” katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, AMLA akan melihat isu e-waste ini secara menyeluruh termasuklah siapa dalang dan bagaimana ia dibawa masuk dan modus operandinya.
Lebur waktu malam
“Apa yang dikesan kilang-kilang haram ini beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama. Proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan.
“Berdasarkan kes sebelum ini, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa namun kilang ini boleh kembali beroperasi dan kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan,” katanya.
Katanya, dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram ini, polis mengingatkan orang ramai dapat memberi kerjasama debgan menyalurkan maklumat.
“Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.



