SELESAIKAN KEMELUT PEMILIHAN UNDANG LUAK REMBAU

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan digesa mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut pemilihan Undang Luak Rembau ke-22 yang kini dilanda kontroversi. Buapak Kampung Tanjong, Datuk Kaya Maharaja Hassan Ab Hamid mendakwa, pengisytiharan Kampung Pulau sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau Ke-22 pada 4 Julai lalu tidak dilaksanakan berlandaskan aturan adat Rembau.

Beliau sehubungan itu meminta pihak berkenaan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses pemilihan itu dijalankan dengan telus serta adil, sekali gus berlandaskan adat sebenar. Menurutnya, Kampung Tanjong sepatutnya diisytiharkan sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau ke-22 kerana mendapat majoriti undi dalam dua istiadat pemilihan.

Pada 24 Jun lepas, dalam istiadat kerapatan, majoriti Buapak bersetuju giliran menyandang pusaka Undang Luak Rembau ke-22 adalah kepada Kampung Tanjong. Namun, Datuk Perba tidak bersetuju dan mengarahkan istiadat kerapatan kedua yang tetap mengekalkan keputusan pemilihan Kampung Tanjong. Dalam kerapatan Lembaga pada 4 Julai lalu, Datuk Perba membatalkan keputusan kedua-dua kerapatan dan mengisytiharkan Kampung Pulau sebagai kampung benih, bertentangan dengan aturan adat Rembau.

Tatacara pemilihan baharu benih undang juga meragukan kerana dokumen disediakan tanpa perbincangan dengan Buapak dan lbu Soko Biduanda Waris yang Dua Carak. Menurutnya dokumen tersebut juga tiada cop mohor dan tandatangan rasmi Allahyarham Datuk Undang Rembau ke-21 dan ketidakselarian tandatangan Allahyarham. Selain itu, beliau mendakwa terdapat kesalahan fatal dalam susun atur kampung dalam lampiran serta ketiadaan kelulusan DKU. Tiada tarikh pada dokumen dan tandatangan. Ketiadaan tandatangan pada struktur organisasi pentadbiran dan lampiran. Lampiran yang dilampirkan tiada tandatangan. Kampung Tanjong yang sepatutnya menerima giliran untuk menyandang pusaka Undang ke-22 dinafikan haknya. Anak buah Kampung Tanjong bersatu mempertahankan hak dan keadilan Kampung Tanjong.

Perkara itu telah dikemukakan kepada DKU dan pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan melalui penyerahan memorandum. Tindakan tersebut bagi memastikan aturan adat dan tradisi Rembau yang telah diwarisi sejak turun-temurun terus dihormati dan dipertahankan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut

POLIS BURU DUA SUSPEK GUNA WANG RM100 PALSU

Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki menggunakan dua wang palsu RM100 untuk membeli makanan di dua premis di Pekan …
Maklumat Lanjut