KERAJAAN NEGERI AKAN BINA LRA UNTUK SELESAI MASALAH AIR PULAU BANGGI

KUDAT (5 Mei): Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Pulau Banggi menerusi pembinaan sebuah loji rawatan air (LRA) baharu khusus untuk pulau itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai jumlah kos loji berkenaan bagi menentukan peruntukan yang diperlukan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk bekalan air dan keperluan asas lain yang penting untuk rakyat.

“Saya mahu dapatkan laporan daripada JANS berapa kos untuk membuat loji di Pulau Banggi, insyaAllah saya akan bagi peruntukan.

“Ini amat penting bagi memenuhi keperluan asas rakyat kita seperti air dan lain-lain kemudahan asas yang mesti diutamakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Banggi dan Tanjung Kapor di Dewan Tun Mustapha, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Masiung Banah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Datuk Seri Rudy Awah; Ketua Wanita Gagasan Rakyat Datuk Redonah Bahanda; ADUN Banggi Mohamad Mohamarin dan ADUN Tanjung Kapor Ben Chong.

Hajiji berkata demikian sebagai maklum balas terhadap permintaan Mohamad mengenai perlunya sebuah LRA khas untuk penduduk Pulau Banggi bagi mengatasi masalah air yang dihadapi penduduk selama ini.

Selain masalah di Pulau Banggi, Hajiji berkata beliau turut memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Tanjung Kapor dan kawasan lain di seluruh negeri.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan Kudat sebagai daerah yang istimewa bukan saja kepada diri beliau, malah kepada sejarah Sabah sejajar kedudukannya sebagai daerah tempat kelahiran bapa kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun.

“Hari ini saya berada di Kudat, satu daerah yang istimewa dan mempunyai sejarah tersendiri kerana di Kudat inilah lahirnya seorang pemimpin utama Sabah, Tun Datu Mustapha.

“Saya juga berharap majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri seumpama ini dapat kita guna dengan sebaiknya untuk merapatkan silaturahim di antara sesama kita, bukan saja dengan orang Islam, tapi juga dengan yang bukan Islam,” katanya.

 

#MalaysiaMadani

#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama

#MKNSabah

 

Sumber: Sabah News Today

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …