PENGAMBILAN DADAH, ALKOHOL DALAM KALANGAN REMAJA JADI ISU SERIUS

PENAMPANG (5 Mei): Pengambilan dadah dan alkohol dalam kalangan remaja di negara ini dilihat menjadi isu serius apabila seramai 106,000 orang remaja direkodkan pernah mengambil dadah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 20 peratus daripada remaja adalah peminum minuman beralkohol pada masa lampau dan 65 peratus daripadanya telah mencuba alkohol sebelum mencapai usia 14 tahun.

“Melihat kepada perkembangan ini dan kepentingan pengkhususan penjagaan kesihatan kepada golongan remaja, Perkhidmatan Kesihatan Remaja telah diperkenalkan dan disusuli oleh Dasar Kesihatan Remaja Negara pada tahun 2001.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan dan memastikan pembangunan remaja supaya mereka menyedari tanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri, memperkasa remaja dengan pengetahuan dan kemahiran yang mantap bagi membolehkan mereka mengamalkan tingkah laku sihat melalui penyertaan yang aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kesihatan Remaja daerah Penampang di sini hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beberapa strategi telah disusun dalam pelaksanaan Dasar Kesihatan Remaja Negara, termasuk mendorong kesedaran kesihatan melalui integrasi tindakan individu dan masyarakat.

Katanya, ia adalah bagi membantu remaja membuat keputusan yang bijak, mengembangkan kemahiran pengurusan risiko, mengamalkan gaya hidup sihat, bertanggungjawab, dan membantu mencipta persekitaran yang menyokong kesihatan remaja.

“Kerjasama dan rangkaian kerja yang kukuh di antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan pemimpin rakan sebaya adalah penting melalui aktiviti penggalakan dan sokongan masyarakat.

“Semua ini adalah selaras dengan perlaksanaan  karnival yang diadakan pada hari yang bertemakan ‘Remaja Sihat Aspirasi Negara’  yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kesihatan remaja.

“Adalah penting untuk kita semua mengakui bahawa remaja adalah aset berharga masa depan kita. Melalui pelbagai program dan strategi yang diformulasikan untuk meningkatkan kesihatan mereka seperti yang dilaksanakan pada hari ini, kita dapat memberikan landasan yang kukuh bagi pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata, Sabah merupakan antara tiga negeri yang mencatatkan jumlah populasi di bawah usia 18 tahun tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Johor berdasarkan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, secara khususnya bagi daerah Penampang, jumlah populasi remaja adalah seramai 25,000 orang iaitu 12.95 peratus dari jumlah populasi keseluruhan Daerah Penampang.

 

#MalaysiaMadani

#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama

#MKNSabah

 

Sumber: Sabah Media

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …