LEBIH 28,000 MANGSA BANJIR DI LIMA NEGERI BERTEDUH DI 137 PPS

SHAH ALAM, 28 DIS: Jumlah mangsa banjir di lima negeri mencatatkan peningkatan kepada 28,032 orang pagi ini berbanding 25,763 orang malam tadi, yang ditempatkan di 137 pusat pemindahan sementara (PPS).

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menunjukkan Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat daripada 19,423 orang pada pukul 8 malam tadi.

Menurut laporan itu, 37 PPS dibuka di Pasir Mas yang menempatkan 18,289 mangsa, 19 di Kuala Krai (1,136 mangsa), masing-masing lima PPS di Tanah Merah (327 mangsa) dan Tumpat (1,507 mangsa) serta 118 mangsa berlindung di dua PPS di Gua Musang, setakat 6 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa mencatatkan peningkatan kepada 6,289 orang yang berlindung di 59 PPS pagi ini berbanding 5,983 orang di 60 PPS pada sebelah malam dengan daerah terjejas meliputi Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Pahang turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini kepada 214 orang yang berlindung di lima PPS di Jerantut, Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands, berbanding 206 mangsa pada sebelah malam.

Laporan itu memaklumkan daripada lima PPS yang masih dibuka di Pahang, PPS di daerah Cameron Highlands membabitkan insiden tanah runtuh dan menempatkan 87 mangsa.

Di Sabah, 31 mangsa ditempatkan di dua PPS di Pitas setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit daripada 30 orang pada 8 malam tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa di Johor tidak berubah dengan 121 mangsa masih berlindung di tiga PPS di daerah Mersing dan Segamat.

Bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai di Kelantan iaitu Sungai Kelantan Pasir Mas, Sungai Golok Tumpat, Sungai Golok Pasir Mas, Sungai Kelantan Kota Bharu berada pada paras bahaya.

Di Terengganu pula, tiga sungai merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Kemaman, Sungai Dungun dan Sungai Terengganu.

– BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …