SOLAT HAJAT DI MASJID DAN SURAU SELURUH NEGARA, DOAKAN KESELAMATAN MANGSA BANJIR

SHAH ALAM, 28 DIS: Masjid dan surau di seluruh negara dimohon mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara serta seluruh mangsa banjir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mond Na’im berkata beliau juga telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera JPM (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan turun membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.

Beliau sendiri bersama agensi-agensi di JPM (Hal Ehwal Agama) hari ini akan meninjau dan berusaha membantu mangsa banjir yang terkesan di negeri-negeri terjejas.

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.

“Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi banjir yang melanda negeri itu ketika ini

Sementara itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

Jumlah mangsa banjir di lima negeri terjejas banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah mencatatkan peningkatan kepada 28,032 orang pagi ini berbanding 25,763 orang malam tadi, yang ditempatkan di 137 pusat pemindahan sementara (PPS).

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat berbanding 19,423 orang pada 8 malam tadi.

– BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …