RAMPAS: Suspek bersama barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan untuk tindakan lanjut.
SANDAKAN: Cubaan menyimpan 945 liter petrol bersubsidi dalam 30 tong jerrycan di sebuah premis tidak bernombor di atas air di Kampung Tinusa, di sini, terbongkar selepas diserbu Maritim Malaysia, awal pagi semalam.
Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan kira-kira jam 12.35 pagi bagi membantu siasatan.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam mengenai aktiviti pemunggahan tong jerrycan yang disyaki mengandungi petrol di kawasan berkenaan.
“Bertindak berdasarkan maklumat itu, pasukan operasi menuju ke lokasi sebelum mengesan sebuah premis tidak bernombor di atas air.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 30 tong jerrycan berada di dalam premis berkenaan dan dipercayai mengandungi petrol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, 945 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM4,400 itu kemudian dirampas untuk membantu siasatan.
Katanya, lelaki terbabit bersama semua barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu petrol bersubsidi tanpa permit atau kebenaran yang sah,” katanya.
Muhamad Suhairy berkata, operasi itu dijalankan menerusi Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara dan Op Tiris 4.0.
Beliau berkata Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



