TANGKAP: Kedua-dua suspek terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Dua lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan Pondok Polis Brumas pada, di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan anggota Balai Polis Bombalai kira-kira jam 9 malam selepas mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pemeriksaan badan terhadap kedua-dua suspek bagaimanapun tidak menemukan sebarang barang salah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.
“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiada sebarang rampasan direkodkan dalam tangkapan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan polis akan terus menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menjauhi penyalahgunaan dadah serta tidak melindungi individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



