JKDM SABAH TUMPAS SEMBILAN KES SELUDUP MINUMAN KERAS RM4.15 JUTA

SIDANG MEDIA: Sebahagian minuman keras yang dirampas semasa operasi dijalankan JKDM Sabah. 

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan sembilan kes cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM4.15 juta termasuk duti dan cukai di Pelabuhan Sepanggar.

Kes berkenaan dikesan menerusi operasi penguatkuasaan pada 10 dan 13 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri Amran Ahmad berkata, Keseluruhan rampasan membabitkan 190,080 liter minuman keras dengan nilai barangan RM1,106,820.

Katanya, jumlah duti dan cukai yang terlibat pula bernilai RM3,043,903.50 menjadikan jumlah keseluruhan nilai barangan bersama duti dan cukai sebanyak RM4,150,723.50.

“Enam kes pertama dikesan ketika pemeriksaan kontena di Custom Examination Area (CEA), Pelabuhan Sepanggar pada 10 Ogos.

“Pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasaan Kota Kinabalu menemukan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki melanggar peruntukan kastam.

“Enam unit kontena disita bagi membolehkan pemeriksaan terperinci dan siasatan lanjut dijalankan meliputi status pemilikan, dokumen sokongan dan pematuhan terhadap keperluan kastam,” katanya semasa sidang media di Pelabuhan Teluk Sepanggar di sini.

RAMPAS: Amran menunjukkan rampasan minuman keras semasa sidang media terbabit.

Beliau berkata, enam kes berkenaan membabitkan jumlah nilai barangan dan duti atau cukai sebanyak RM2,676,217.50.

Sementara itu katanya, tiga lagi kes dikesan pada 13 Ogos menerusi pemeriksaan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu di Pelabuhan Sepanggar.

“Pemeriksaan menemukan 71,280 liter minuman keras jenis bir dengan jumlah nilai dan duti atau cukai sebanyak RM1,493,563.50.

“Siasatan mendapati kegiatan berkenaan dipercayai menggunakan kontena sebagai medium membawa masuk minuman keras melalui laluan perdagangan maritim,” katanya.

Katanya, penghantaran disyaki disamarkan sebagai kargo perdagangan biasa bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.

“Pengikraran dan dokumentasi yang disyaki tidak tepat turut dikesan.

“Barangan dalam kontena dipercayai tidak diikrarkan dengan sewajarnya atau tidak mematuhi keperluan kastam bagi mengelakkan pembayaran duti dan cukai,” katanya.

Bagi tiga kes terakhir katanya, modus operandi dipercayai mengeksploitasi saluran import dan kemudahan logistik pelabuhan yang sah.

“Kesemua sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 133 dan 135 Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan mengikut Seksyen 133(1)(a), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a), kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM50,000, mengikut mana lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, denda maksimum bagi kesalahan berkenaan ialah 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000.

“Denda maksimum pula ialah 40 kali ganda amaun duti kastam atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Amran turut menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan membabitkan minuman keras, rokok, mercun, kenderaan dan barangan lain.

Katanya, kegiatan penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

“Orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

 

Artikel/Berita Terkini

70 LOT KEDAI PAKAIAN ‘BUNDLE’ MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI TAWAU

MUSNAH: Deretan lot kedai pakaian ‘bundle’ di kawasan berkenaan musnah dalam kebakaran. TAWAU: Kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian ‘bundle’ …

JKDM SABAH TUMPAS SEMBILAN KES SELUDUP MINUMAN KERAS RM4.15 JUTA

SIDANG MEDIA: Sebahagian minuman keras yang dirampas semasa operasi dijalankan JKDM Sabah.  KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah …

PADI TR8 BERPOTENSI HASIL 10 TAN SEHEKTAR JAMAWI

KENANGAN: Jamawi bersama tetamu jemputan dan komuniti petani merakamkan kenangan sempena perasmian kawasan Penuaian Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) …