KENANGAN: Jamawi bersama tetamu jemputan dan komuniti petani merakamkan kenangan sempena perasmian kawasan Penuaian Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) Kalibatang Baru, Tenom pada Selasa.
TENOM: Varieti padi TR8 berpotensi menghasilkan hingga 10 tan sehektar berdasarkan pencapaian penanaman di beberapa kawasan termasuk Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tomani dan Merais di sini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, potensi itu turut dibuktikan menerusi hasil tuaian di kawasan Penuaian Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) Kalibatang Baru yang dirasmikannya pada Selasa.
Beliau berkata, kawasan berkenaan digazetkan sebagai Satelit Benih Padi Sah di bawah Seksyen Pengeluaran Benih Padi Jabatan Pertanian Sabah bagi menghasilkan benih padi berkualiti yang disahkan Jabatan Pertanian.
“Di kampung ini ada kawasan lebih kurang 67 hektar yang ditanam dengan padi TR8. Mengikut statistik kita, paling tinggi di sini sejak tiga tahun kebelakangan ini boleh mencapai 10 tan sehektar.
“Maksudnya, potensi padi TR8 ini memang tinggi dan potensi hasilnya dibuktikan di kawasan Kampung Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tomani dan Merais,” katanya selepas merasmikan penuaian SSBPS Kalibatang Baru di sini, semalam.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, pemeriksaan sampel yang dilakukannya turut mendapati setiap tangkai padi mempunyai antara 165 hingga 185 biji, menunjukkan potensi hasil sekitar lapan hingga sembilan tan sehektar.
Menurutnya, pencapaian itu antara yang tertinggi di Sabah berbanding Jelapang Padi Kota Belud yang mencatat hasil tertinggi sekitar lima tan sehektar, manakala Jelapang Padi Terusan Sapi mencapai 4.5 tan sehektar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian Sabah kerana melihat potensi kawasan berkenaan dalam meningkatkan pengeluaran padi.
“Saya bukan orang baru di sini. Saya bersama dengan petani di sini lebih kurang 20 tahun dan saya tahu kesungguhan mereka dalam memberikan tenaga serta kesepakatan untuk menguruskan ladang padi di kawasan ini.
“Selain padi, petani di kawasan ini turut mengusahakan buah-buahan, termasuk tanaman yang menjadikannya antara pengeluar buah-buahan yang terkenal di Sabah.
“Justeru, kerajaan negeri akan terus membantu petani berikutan potensi kawasan ini untuk dikembangkan sebagai contoh kepada petani industri padi di Sabah,” jelasnya.
Beliau berkata, dua unit traktor, masing-masing untuk kerja membajak dan menuai turut diluluskan untuk kawasan itu tahun ini.
Tahun hadapan, pihaknya akan menambah mesin menanam dan juga mesin penuai yang kecil untuk kawasan-kawasan yang sukar dimasuki oleh jentera besar.
Jamawi berkata, permintaan petani untuk bantuan mesin penyembur baja turut akan dipertimbangkan, dengan lima unit dirancang untuk disediakan tahun hadapan.
“Saya rasa kawasan ini akan terus berpotensi untuk dikembangkan dan menjadi contoh kepada petani-petani industri padi untuk negeri Sabah.
“Saya minta Jabatan Pertanian supaya menggalakkan kelompok petani yang ingin mempelajari kaedah pengurusan tanaman TR8 untuk datang ke kawasan Kuala Tomani bagi melihat sendiri teknologi dan hasil yang dicapai.
“Tak perlulah kamu ke Sekinchan, ke Perak, ke negeri Jelapang Padi Kedah. Datang ke Kuala Tomani, kami buktikan hasil padi sampai 10 tan sehektar,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Maria David Edick; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson Ronald Raimi; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; dan Pegawai Pertanian Tenom, Mohammad Fauzi Ab Gulam.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



