Seramai 11 tahanan warganegara Thailand dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lalu.
Operasi pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu menerusi Unit Pemindahan itu turut dibantu Pasukan Iringkawal Depot Imigresen Ajil.
Kesemua tahanan berusia antara 15 hingga 49 tahun terdiri daripada dua lelaki, enam wanita dan tiga kanak-kanak perempuan.
JIM Negeri Terengganu memaklumkan, kesemua tahanan telah selesai menjalani proses perundangan dan hukuman masing-masing serta dikenakan tindakan senarai hitam mengikut kesalahan di bawah peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Selain itu, turut menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan urusan pemindahan tahanan secara teratur, selamat dan berhemah bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Sumber: Laman Rasmi Facebook Jabatan Imigresen Negeri Terengganu



