RAMPASAN: Rokok tidak bercukai yang dirampas dalam operasi berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dengan rampasan bernilai hampir RM600,000 dalam operasi di Jalan Sin On Tiku, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihaknya.
Katanya, sepasukan anggota PPM menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran, Indonesia, untuk dipasarkan di sekitar daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhannya sebanyak 365,200 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang disita adalah RM593,800.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi negara.
“PPM komited untuk terus memerangi aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan masing-masing,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



