KURANGKAN KETIRISAN, GUNA MYKAD UNTUK BUDI DIESEL

MENJELASKAN: Amir (kiri) dan Masidi semasa dalam sidang media itu.

KOTA KINABALU: Penggunaan MyKad untuk pembelian subsidi diesel di bawah BUDI Diesel adalah untuk mengurangkan ketirisan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data yang diperolehi, wujud banyak ketirisan dalam penggunaan diesel.

Katanya, hanya warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sahaja yang layak untuk menikmati subsidi yang diberikan.

“Kalau bukan warganegara, anda kena beli pada harga yang diapungkan. Ini adalah kriteria penting untuk memastikan semua orang dapat mengurangkan risiko ketirisan yang berlaku.

“Anggaran kita ialah untuk mengurangkan sebanyak 1 bilion liter ketirisan yang berlaku untuk diesel di Malaysia dalam setahun.

“Kalau kita dapat mengurangkan, bukan saja dari segi pengurangan pembayaran subsidi, tapi juga untuk menjamin kestabilan bekalan yang ada dalam negara,” katanya dalam sidang media berkenaan pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk BUDI Diesel, pengguna yang memerlukan kuota tambahan, individu itu kena memohon untuk mendapat 100 liter lebih.

Untuk itu katanya, pengguna terbabit perlu masuk ke portal yang disediakan ataupun melawat pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendaftar bagi mendapat kelayakan tambahan 100 liter sebulan.

Katanya, bagi pengguna di kawasan pedalaman, perkara sama diamalkan iaitu penggunaan MyKad seperti pengguna yang menggunakan subsidi RON95.

Dalam pada itu, kenyataan dari Kementerian Kewangan menjelaskan di bawah pembaharuan subsidi diesel, setiap individu yang layak diberi had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan untuk membeli bahan api bersubsidi termasuk RON95 dan diesel.

Data Kerajaan menunjukkan hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan.

Justeru, had kelayakan asas sebanyak 200 liter ini dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.

Mengambil kira keadaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lebih bergantung kepada penggunaan kenderaan pikap dan jip, pemilik kenderaan kategori tersebut boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Berdasarkan data penggunaan semasa, dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

Keperluan pengguna lain turut diambil kira Kerajaan MADANI turut mengambil kira keperluan kumpulan pengguna lain di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk pengusaha bot sungai, pemilik genset di kawasan pedalaman serta kumpulan yang bergantung kepada diesel untuk mata pencarian harian.

Bagi kumpulan pengguna selain pemilik kenderaan diesel persendirian, termasuk pengusaha bot sungai, pengguna genset di kawasan pedalaman dan kumpulan lain yang bergantung kepada diesel untuk kehidupan harian, kerajaan sedang memuktamadkan mekanisme khusus bagi memastikan mereka terus menerima bantuan yang bersesuaian.

Bagi Sabah, kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bagi mendapatkan serta memuktamadkan data penerima yang layak, termasuk senarai pengusaha dan pengguna bot yang memerlukan diesel bersubsidi melalui mekanisme yang bersesuaian.

Kesiapsiagaan stesen minyak di Sabah ditinjau Lawatan ke stesen minyak di Tuaran adalah untuk meninjau kesiapsiagaan stesen minyak menjelang pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai 2026. Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kelancaran sistem pengesahan MyKad, kesiapsiagaan petugas stesen minyak serta keupayaan proses transaksi di pam.

Berdasarkan tinjauan awal bersama syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak, persiapan operasi berada pada tahap yang baik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, berdasarkan kepada statistik yang disediakan, pihak Kementerian Kewangan Persekutuan telah melakukan kajian yang menyeluruh.

“Saya rasa setiap orang Sabah perlu berusaha keras untuk pastikan tidak ada ketirisan. Ini masalah kita…tadi kita diberitahu 1 bilion liter yang hilang begitu saja.

“Takkanlah orang Sabah kuat guna diesel kan? ataupun guna diesel sebanyak itu…jadi ia mesti pergi ke tempat lain.

“Oleh itu, saya melihat bagi pihak kerajaan dan rakyat, apabila ketirisan itu hilang, bukan saja kerajaan yang rugi tapi sebenarnya rakyat pun rugi.

“Ketirisan menyebabkan kurang diesel yang dapat diagihkan kepada pengguna-pengguna yang layak,” katanya.

Masidi menyeru agar semua warga negara Malaysia di Sabah agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai mereka yang bertanggungjawab menjual diesel secara haram kepada pengguna yang tidak layak.

 

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …