PROJEK PKMST PERKASA PELANCONGAN WARISAN MURUT DI TENOM – JAFRY

PROJEK: Jafry Ariffin mendengar taklimat sambil meneliti kertas kerja projek ketika lawatan ke PKMST, Tenom.

TENOM: Kerajaan Sabah terus komited memperkasa pelancongan berasaskan warisan menerusi pelaksanaan Projek Meningkatkan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom (PKMST).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, projek berkenaan adalah inisiatif strategik yang menekankan pemeliharaan identiti budaya masyarakat Murut selain meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri secara mampan.

Katanya, pendekatan pembangunan projek itu berteraskan keaslian, penceritaan sejarah serta pengalaman ruang yang imersif bagi memastikan pengunjung dapat menghayati warisan budaya secara menyeluruh.

“Pengunjung bukan sahaja melihat, tetapi dapat memahami dan merasai sendiri sejarah serta budaya masyarakat Murut melalui pengalaman yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan projek berkenaan, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang.

Jafry berkata, antara komponen utama projek itu ialah pembinaan Rumah Tengkorak yang bakal menjadi bangunan ikonik serta tarikan utama di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bangunan itu akan berfungsi sebagai pusat interpretasi budaya yang menempatkan pameran sejarah, artifak tradisional serta ruang tayangan bagi memperkenalkan asal-usul masyarakat Murut kepada pengunjung.

“Reka bentuk Rumah Tengkorak diterjemahkan secara simbolik sebagai lambang sejarah dan warisan dengan susun atur ruang yang membawa pengunjung melalui perjalanan penceritaan budaya yang tersusun.

“Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan pembangunan 10 unit pondok kuburan yang mewakili pelbagai sub-etnik Murut seperti Murut Tagol, Timugon dan Tangara,” katanya.

Beliau berkata, setiap struktur direka dengan identiti seni bina tersendiri bagi mencerminkan keunikan serta asal-usul setiap sub-etnik.

“Pembangunan itu bukan sahaja berperanan sebagai produk pelancongan, malah menjadi platform pendidikan dalam memahami sejarah serta memperkukuh identiti budaya tempatan.

“Pada masa sama, ia memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan dan program interpretasi budaya,” katanya.

Jafry berkata, projek itu diyakini mampu menjadi ikon pelancongan budaya baharu di Sabah, khususnya di Tenom, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan bertaraf dunia.

Beliau turut menegaskan pembangunan projek berkenaan dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti budaya serta mematuhi prinsip pemuliharaan warisan bagi menjamin kelestarian jangka panjang.

Terdahulu, projek yang bermula pada 6 Mei 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei 2026 dengan kos kontrak berjumlah RM825,559.60.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …