SUMBANGAN: Dr. Joachim menyampaikan sumbangan sayur-sayuran dari tanah tinggi Kundasang kepada penduduk setempat.
RANAU: Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk terus menjadi asas kekuatan negeri Sabah yang perlu dipelihara oleh semua lapisan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, rakyat negeri ini perlu terus hidup dalam suasana saling menghormati serta bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, masyarakat Sabah telah lama terbiasa dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, malah hubungan kekeluargaan merentasi agama menjadi satu keunikan yang harus dikekalkan.
“Apabila tiba Krismas kita akan menjemput mereka, dan apabila Hari Raya pula mereka akan menjemput kita. Amalkanlah kebiasaan ini kerana agama tidak sepatutnya memecah-belahkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturrahim Hari Raya Aidilfitri bersama beliau di Mini Dewan Timbua, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politiknya, Datuk Arthur Sen; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sany.
Dalam pada itu, Joachim berkata, majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, malah memberi peluang kepada beliau untuk bertemu dan mendengar sendiri pandangan rakyat selepas pilihan raya lalu.
“Saya sedar tugasan dalam portfolio kementerian baharu ini bukan mudah, namun saya akan berusaha memberikan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima watikah pelantikan agar menjalankan amanah dengan penuh dedikasi serta sentiasa peka terhadap tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.
Selain itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa kerana perjalanan hidup masih panjang. Teruskan usaha,” katanya.
Sementara itu, Dr. Joachim berkata, majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memupuk perpaduan, menghargai kecemerlangan pendidikan serta memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi.
Terdahulu, Pengerusi penganjur, Fadzil Anthony merakamkan penghargaan kepada penduduk yang hadir memeriahkan majlis selain memuji semangat gotong-royong dalam menjayakan program berkenaan.
Dalam program itu, Dr. Joachim turut menyampaikan sumbangan kepada 11 anak yatim berusia 12 tahun ke bawah, hadiah penghargaan kepada 10 pelajar cemerlang SPM 2025 dari SMK Timbua, watikah pelantikan kepada 11 Pengerusi JKKK Mukim Timbua dan Pinawantai serta sumbangan sayur-sayuran dari tanah tinggi Kundasang kepada penduduk yang hadir.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



