TANGKAP: Kedua-dua suspek terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
KENINGAU: Tindakan dua lelaki mencuri sebuah kereta kononnya untuk kegunaan harian membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Dalam insiden kira-kira jam 5.15 petang pada Sabtu di Kampung Bulu Silou, sebuah kereta berwarna coklat dilaporkan hilang ketika enjin kenderaan itu dipanaskan di tepi rumah pemiliknya.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya segera melancarkan operasi bagi mengesan suspek.
Katanya, hasil tindakan pantas itu membawa kepada penahanan dua lelaki di pekarangan sebuah stesen minyak di Sook kira-kira jam 2 petang tadi.
“Dua suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun. Siasatan awal mendapati suspek utama mengaku mencuri kenderaan terbabit kerana tidak mempunyai kenderaan untuk kegunaan harian.
“Seorang lagi suspek bertindak sebagai penumpang dan dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek utama mempunyai lima rekod kes narkotik serta dua kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kes narkotik.
“Kenderaan yang dicuri dianggarkan bernilai RM5,000 dan berjaya ditemui semula susulan tangkapan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing juga akan dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



