PERIKSA: Dr. Shameer (tiga kanan) membuat pemeriksaan beberapa dokumen termasuk sijil latihan pengendalian makanan.
TAWAU: Sebanyak 14 notis kesalahan dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan di daerah ini hasil pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, setakat hari ketujuh Ramadan.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 60 anggota yang membuat pemeriksaan di 82 premis sekitar bazar Ramadan.
Katanya, antara kesalahan dikesan ialah pelanggaran Perkara 32(1)(b) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu tidak mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan.
“Selain itu, kita turut mengesan kesalahan di bawah Perkara 11(1)(b) apabila majikan menggaji pengendali makanan tanpa sijil latihan pengendalian makanan.
“Kita juga mengesan beberapa kesalahan lain termasuk aspek kebersihan diri seperti berkuku panjang, memakai perhiasan tangan, tidak menghadiri kursus pengendali makanan serta penggunaan perkakas yang kotor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026, pada Rabu.
Beliau berkata, pemeriksaan tertumpu di beberapa lokasi utama bazar Ramadan sekitar Tawau termasuk kawasan Fujimart, Sabindo dan perkarangan tempat letak kereta Bataras.
Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 20 lokasi bazar Ramadan di daerah ini dan pemeriksaan akan diteruskan sehingga tamat Ramadan.
“Bagaimanapun, kita melihat ada peningkatan dari segi pematuhan dan pengetahuan dalam kalangan penjaja berbanding sebelum ini. Kesedaran semakin baik, namun pemantauan tetap akan diteruskan,” katanya.
PROMOSI: Dr. Shameer mempromosikan kebersihan persekitaran bagi mengatasi masalah denggi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan mahkamah terhadap satu kes membabitkan kesalahan memberi perlindungan kepada larva nyamuk Aedes susulan peningkatan kes denggi di daerah itu.
Katanya, selepas dikompaun dan masih gagal mematuhi arahan, kes berkenaan dibawa ke mahkamah sebelum majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,500.
“Setakat hari ini, sebanyak 264 kes denggi direkodkan di Tawau. Memang ada peningkatan sedikit sebelum ini, namun kini kita melihat trend penurunan hasil tindakan agresif yang diambil.
“Kita turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pemimpin setempat, komuniti, KRT serta agensi berkaitan selain mempergiat aktiviti gotong-royong,” katanya.
Beliau berkata, antara kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ ketika ini ialah Taman Mas, Taman Semarak dan Kampung Titingan.
Katanya lagi, pihaknya akan terus memperhebatkan promosi kebersihan persekitaran serta melaksanakan program Kementerian Kesihatan seperti COMBI (Communication for Behavioural Impact) bagi memastikan kes denggi dapat dikawal terutama menjelang musim perayaan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



