Melaka – Program Sahur Sejahtera, Keselamatan Terpelihara anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka sempena bulan Ramadan telah dilaksanakan sebagai tanda penghargaan dan sokongan kebajikan kepada anggota keselamatan serta petugas barisan hadapan yang terus komited menjalankan amanah tanpa mengira masa.
Program ini bertujuan memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian, seiring usaha berterusan dalam menjamin keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara, walaupun dalam suasana masyarakat sedang beristirahat.

Pengagihan pek makanan sahur telah dimulakan di Daerah Jasin melibatkan Balai Polis Bemban dan Balai Bomba Jasin.
Seterusnya, program diteruskan ke Daerah Alor Gajah dengan agihan di Balai Polis Simpang Empat, Balai Polis Gadek, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah, Hospital Alor Gajah, Balai Bomba Alor Gajah, Balai Polis Alor Gajah, Balai Bomba Masjid Tanah serta Balai Polis Masjid Tanah dan berakhir di hadapan Balai Pengawal Kem Terendak.
Program ini telah diketuai oleh Tuan Norazle bin Sulaiman, Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Negeri Melaka yang turut menyampaikan sendiri pek makanan sahur kepada para petugas, diiringi oleh para pegawai dan tim GSPS Negeri Melaka.
Semoga inisiatif ini menjadi simbol penghargaan dan solidariti berterusan kepada wira-wira negara yang sentiasa berada di barisan hadapan demi memastikan prinsip Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama terus diperkasa.



