MESYUARAT: Andi Md Shamsureezal (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Khas menangani isu pelancongan di daerah Semporna pada Selasa.
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) terus komited dalam menangani isu pelancongan di daerah Semporna bagi memperkukuh tahap keselamatan dan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, beberapa isu utama dikenal pasti yang memerlukan perhatian segera.
Menurutnya, antara isu berkenaan termasuk berkaitan pelesenan premis penginapan, aspek keselamatan serta pematuhan terhadap arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Selain itu katanya, keperluan penyelarasan yang lebih bersepadu antara agensi-agensi berkaitan turut diberi perhatian dalam menangani isu berkenaan.
“Berdasarkan dapatan semasa, sebanyak 190 premis penginapan dikenal pasti beroperasi di daerah Semporna dan daripada jumlah itu, 45 premis berjaya dilesenkan, 59 premis sedang dalam proses memohon lesen, manakala 86 premis masih belum mengambil sebarang tindakan bagi tujuan pelesenan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Khas (Task Force) di sini pada Selasa.
Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan menangani isu pelancongan di daerah Semporna sebagai langkah proaktif memperkukuh tahap keselamatan serta keyakinan pelancong.
Menurutnya, KePKAS menetapkan tempoh selama tiga bulan kepada semua 86 premis penginapan yang belum berlesen untuk menyelesaikan permohonan lesen masing-masing dan mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan serta garis panduan yang ditetapkan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian selepas tempoh berkenaan akan menyebabkan tindakan selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa melalui mekanisme penguatkuasaan yang akan dilaksanakan secara bersepadu.
“Pada masa sama, KePKAS akan menggumpul semua SOP berkaitan keselamatan pelancongan yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dan teknikal.
“SOP-SOP yang diselaraskan ini akan diterbitkan dan boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi KePKAS bagi memastikan kefahaman yang jelas serta pematuhan menyeluruh oleh pengusaha industri pelancongan dan pihak berkepentingan.
“Selain itu, KePKAS juga akan melaksanakan operasi bersepadu dalam masa terdekat dengan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan khususnya bagi memastikan pematuhan terhadap pelesenan, SOP keselamatan serta tahap keselamatan pelancong sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau berkata, KePKAS komited untuk memastikan daerah Semporna kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat, teratur dan berdaya saing selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memelihara imej pelancongan Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurutnya, tahap keselamatan di daerah Semporna adalah terjamin dan berada dalam keadaan terkawal sekali gus menjadikannya destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



