TAMAT: Notis penamatan bencana di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu mengisytiharkan penamatan bencana di daerah ini berkuat kuasa jam 12 tengah hari susulan keadaan cuaca cerah serta situasi lapangan yang kembali stabil.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan laporan dan maklumat terkini di lapangan yang diterima daripada semua agensi JPBD Kota Kinabalu.
Menurutnya, pemantauan mendapati keadaan cuaca berada dalam keadaan baik tanpa hujan berterusan, selain tiada lagi ancaman keselamatan yang boleh menjejaskan penduduk atau infrastruktur awam di sekitar daerah berkenaan.
“Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi JPBD Kota Kinabalu mengisytiharkan penamatan bencana bagi daerah Kota Kinabalu berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam perkembangan sama, JPBD Kota Belud turut mengisytiharkan tamat bencana di daerah itu dengan semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup sepenuhnya bermula jam 1 tengah hari Rabu.
Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton berkata, pengisytiharan dibuat selepas trend paras air sungai menunjukkan penurunan dan berada pada tahap normal selain keadaan cuaca yang cerah.
Beliau berkata, pemeriksaan menyeluruh dijalankan di kawasan terjejas termasuk kediaman Penduduk Terjejas Bencana (PTB) sebelum keputusan penutupan PPS diambil.
“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan dan kediaman PTB berada dalam keadaan selamat untuk didiami semula.
“Semua agensi berkaitan kekal bersiap siaga bagi memantau keadaan semasa walaupun situasi banjir menunjukkan pemulihan sepenuhnya.
“JPBD Kota Belud turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan serta sukarelawan yang terlibat sepanjang operasi pengurusan bencana di daerah ini,” katanya.
Orang ramai di Kota Kinabalu dan Kota Belud disaran terus berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta melaporkan sebarang kejadian luar jangka bagi memastikan keselamatan komuniti terus terpelihara.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



