PROJEK JPL BAHARU ATASI KESESAKAN PESAKIT KK INANAM, MENGGATAL

TINJAU: Mustapha (tengah) ketika sesi tinjauan di Klinik Kesihatan Menggatal.

KOTA KINABALU: Pembinaan bangunan Jabatan Pesakit Luar (JPL) baharu di Klinik Kesihatan (KK) Inanam dan KK Menggatal dijangka menjadi penyelesaian utama kepada masalah kesesakan pesakit di fasiliti tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, bangunan baharu JPL di KK Inanam telah siap sepenuhnya, manakala pembinaan di KK Menggatal sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Pembinaan bangunan baharu ini merupakan projek yang amat dinantikan oleh penduduk setempat.

“Sebelum ini, kapasiti klinik sedia ada tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Dengan adanya kemudahan baharu ini, proses pemeriksaan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan tersusun,” katanya selepas mengadakan lawatan ke KK Inanam dan KK Menggatal, pada Ahad.

Dalam lawatan sama, Mustapha turut memaklumkan beberapa cadangan pembinaan klinik kesihatan baharu sedang dipertimbangkan, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, tertakluk kepada kesediaan tapak tanah yang bersesuaian.

Di samping itu, beliau mengakui beberapa isu sokongan infrastruktur seperti kesesakan jalan raya, kekurangan tempat letak kenderaan serta ketidakstabilan bekalan elektrik juga dikenal pasti antara cabaran utama menjejaskan operasi harian klinik sedia ada.

“Saya akan memanggil agensi berkaitan untuk membincangkan penyelesaian segera supaya perkhidmatan kesihatan tidak terganggu,” katanya.

Di samping itu, Mustapha memaklumkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir dengan Kampung Darau antara lokasi paling terjejas setakat ini.

“Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Masjid Al-Munir melibatkan 46 keluarga setakat pagi ini, selain beberapa kawasan lain yang turut dilaporkan dinaiki air,” tambahnya.

Menurutnya, proses pengumpulan data sedang dilaksanakan bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mangsa terlibat.

Hadir sama, Setiausaha Persekutuan, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

OPERASI BERSEPADU ESSCOM BELURAN CATAT RM407,644.69 NILAI KOMPAUN, RAMPASAN

OPERASI: Salah satu siri pemeriksaan yang dilaksanakan sepanjang Operasi Bersepadu ESSCOM Beluran. BELURAN: Operasi Bersepadu Daerah Beluran yang dilaksanakan Eastern …

TRAGEDI DI JALAN RAYA: KESEDARAN MENGHORMATI GARISAN BERKEMBAR

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang gemar memotong kenderaan di garisan berkembar merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan maut. Tindakan …

BAHAYA KENDERAAN LEBIH MUATAN: PATUHI HAD DEMI KESELAMATAN JALAN RAYA

Isu kenderaan membawa lebih muatan (overloading) kini menjadi fokus utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana risiko impak negatifnya terhadap …