OPERASI: Pasukan operasi menjalankan pemindahan mangsa ke PPS akibat banjir.
KOTA KINABALU: Seramai 495 mangsa daripada 159 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kawasan di Beaufort dan Kota Kinabalu dilanda banjir setakat awal pagi tadi.
Daripada jumlah itu, seramai 315 mangsa daripada 113 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di Beaufort susulan banjir yang melanda daerah berkenaan sejak tiga hari lalu.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, seramai 180 mangsa daripada 46 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau akibat banjir yang berlaku sejak petang Sabtu.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kebanyakan mangsa dipindahkan dari lapan kampung yang terjejas di Beaufort serta sebuah kampung di Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Bandaraya Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir bermula jam 9 malam tadi berikutan kejadian banjir di beberapa lokasi susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu.
Pengisytiharan bencana itu dibuat oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Beberapa kawasan rendah termasuk jalan raya, khususnya di sekitar Manggatal, Inanam dan Kolombong dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan yang berlaku pada siang hari.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan dikeluarkan serta mengelakkan melalui kawasan banjir bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



