PENGUSAHA COBT DI SABAH DISARAN TINGKAT STANDARD PERKHIDMATAN

IKTIRAF: Joniston (empat kiri) bersama pengusaha CoBT yang menerima pengiktirafan peringkat ASEAN baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di Sabah digalakkan untuk terus meningkatkan standard perkhidmatan dan melakukan penambahbaikan selaras dengan perubahan jangkaan pelawat.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, banyak destinasi CoBT di negeri ini sudah mempunyai tarikan semula jadi dan kebudayaan kukuh yang menjadi kelebihan utama mereka.

Bagaimanapun, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri ini berkata, aspek kekuatan itu perlu dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik.

“Alam semula jadi sudah memainkan peranannya. Apa yang perlu kita pertingkatkan secara berterusan ialah cara kita menyampaikan pengalaman kepada pelawat.

“Kualiti perkhidmatan, kemudahan asas dan tahap profesionalisme memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan pengunjung.

“Justeru, saya mengingatkan pengusaha agar tidak terlalu bergantung kepada standard dan amalan lama yang mungkin berkesan lima tahun lalu tetapi tidak lagi praktikal pada masa kini.

“Saya menyeru kepada para pengusaha CoBT supaya mengikuti peredaran masa bagi memenuhi jangkaan pelawat yang semakin berpengetahuan dan menuntut kualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan lima pengusaha CoBT Sabah yang baru-baru ini menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard di peringkat kebangsaan hari ini.

Pertemuan itu diketuai oleh Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Meijin Manggingow bersama pengusaha CoBT iaitu Pusat Rekreasi Bambangan Lama, Murug-Turug Eko-Pelancongan Kampung Minangkob dan Lingga Eko Pelancongan di Kiulu, serta Terintidon Eko Pelancongan dan Tagal Kampung Tiong Malangkap di Kadamaian.

Joniston mengucapkan tahniah kepada penerima pengiktirafan dan mengingatkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan seharusnya dilihat sebagai asas untuk terus membina dan memperkukuh penawaran produk pelancongan.

Menurutnya, ia selaras dengan penekanan berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan pelancongan luar bandar dalam bajet terkini.

“Kita telah menetapkan sasaran supaya pelancongan berasaskan komuniti di Sabah mencapai piawaian ASEAN menjelang 2030. Inilah masanya untuk menilai semula aspirasi ini, meneliti kemajuan yang dicapai serta bersikap jujur terhadap aspek yang masih perlu diperkukuhkan.

“STB akan terus bekerjasama dengan pengusaha CoBT melalui inisiatif pembinaan kapasiti, penglibatan industri serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

“Kiulu dan Kadamaian merupakan antara pemain utama dalam inisiatif pelancongan luar bandar negeri dan ditetapkan sebagai model pembangunan pelancongan luar bandar sejak 2014,” jelasnya.

Beliau berkata, seiring peredaran masa, sektor ini semakin mendapat pengiktirafan, dengan Kadamaian menerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN pada 2019, manakala Kiulu kini sedang dipertimbangkan untuk status Cittaslow iaitu satu gerakan global eksklusif yang menggalakkan pembangunan mampan berteraskan komuniti.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …