POLIS BURU SUSPEK LASTIK PELANCONG HINGGA CEDERA

KASIM

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China cedera selepas dipercayai dilastik dengan satu objek dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak ketika berjalan bersama suaminya di pusat bandar, malam Isnin.

Insiden yang mencetuskan kebimbangan keselamatan pelancong itu berlaku di Jalan Kota Kinabalu Lama 2 berhampiran sebuah bangunan bank kira-kira jam 7 malam, 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, laporan polis daripada mangsa berusia 31 tahun diterima sebaik insiden berkenaan berlaku dan mangsa mengalami lebam pada bahagian badan akibat terkena objek berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan kaki bersama suaminya sebelum satu objek dipercayai dilontar atau dilastik dari arah sebuah kenderaan yang sedang bergerak di lokasi kejadian.

“Kejadian disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan akibat perbuatan cuai atau membahayakan keselamatan orang awam.

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, pihak polis kini giat mengesan suspek serta saksi kejadian bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian antara jam 6.45 petang hingga 7.15 malam pada hari berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat.

“Pemilik kenderaan yang melalui laluan Jalan Kota Kinabalu Lama 2 atau Jalan Pantai pada tempoh sama serta mempunyai rakaman kamera papan pemuka turut diminta membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Damian Frederick di talian 017-6561513 atau Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208,” katanya.

Kasim turut memberi jaminan siasatan rapi dijalankan bagi memastikan keselamatan orang awam dan pelancong di bandar raya ini terus terjamin.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …