CENDERAHATI: Ewon menerima cemderahati semasa mengadakan lawatan kerja ke JKNS di sini.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pelaksanaan Kajian Kemungkinan dan Reka Bentuk Awalan Sistem Keretapi yang menghubungkan Putatan ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar sebagai langkah strategik memperkukuh sistem pengangkutan rel serta logistik negeri.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kajian itu menjadi asas penting dalam menentukan hala tuju baharu pembangunan sistem rel Sabah yang lebih menyeluruh, tersusun dan mampan.
Katanya, keperluan sistem konektiviti yang lebih cekap semakin mendesak khususnya bagi menghubungkan taman-taman perindustrian dengan pelabuhan utama di seluruh negeri bagi menyokong rantaian bekalan serta pergerakan barangan.
“Saya mengalu-alukan usaha Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) memulakan kajian ini dalam masa terdekat.
“Dapatan kajian ini akan menjadi input utama dalam merangka hala tuju sistem rel negeri, termasuk sokongan kepada agenda pembangunan perindustrian dan logistik Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke JKNS di sini.
Dalam pada itu, Ewon turut menyentuh pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo yang sedang berjalan, dengan kementeriannya akan mengemukakan pandangan tambahan bagi memastikan kepentingan Sabah terus diberi keutamaan dalam perancangan berskala besar itu.
Katanya, JKNS sudah mengemukakan pandangan dengan memberi fokus kepada peranan pelabuhan utama Sabah termasuk di Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu sebagai pemangkin perdagangan serta perindustrian negeri.
Ewon dalam masa sama menyambut baik pelaksanaan Kajian Semula Kadar Tambang Perkhidmatan Keretapi serta beberapa kajian berkaitan peningkatan sistem dan aset rel bagi menambah nilai perkhidmatan kepada rakyat.
“Dari segi hasil, JKNS kini mengutip sekitar RM1.2 juta setahun, menerusi kajian-kajian yang sedang dan akan dilaksanakan, kerajaan negeri boleh menggubal hala tuju baharu bagi meningkatkan hasil tanpa mengetepikan peranan jabatan dalam memberi perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperkasakan perkhidmatan rel sebagai satu daripada sistem pengangkutan utama rakyat Sabah pada masa hadapan.
“Saya mahu melihat pengangkutan keretapi berkembang sebagai mod mobiliti utama rakyat Sabah dalam jangka panjang.
“Usaha ke arah itu terus digerakkan oleh JKNS dan saya akan menyokong setiap pelan menaik taraf kelengkapan serta perkhidmatan mereka,” katanya.
Ewon turut berharap pendekatan Sabah First dalam JKNS terus diperkasakan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan kekal berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat.
Sementara itu, Pengarah JKNS Mohammad Safri berkata, Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo berjalan selama tempoh 12 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2026.
Katanya, Kajian Kemungkinan dan Reka Bentuk Awalan Sistem Keretapi Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar pula bermula dalam masa terdekat dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan.
Semasa kunjungan itu, beliau turut memberi taklimat berhubung perkhidmatan sedia ada, cabaran operasi serta inisiatif baharu jabatan berkenaan.
Turut serta Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Thomas Logijin serta pegawai-pegawai kementerian dan JKNS.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



