Pada 6 November dalam tahun 1968, Malaysia International Shipping Corporation Berhad (kini dikenali sebagai MISC) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan perkhidmatan perkapalan nasional yang bergerak cergas dalam perkapalan antarabangsa dan dalam negeri. Pada tahun 1970, MISC telah melancarkan kapalnya yang pertama iaitu MV Bunga Raya yang mengambil nama sempena bunga kebangsaan Malaysia. Kedudukan yang strategik dalam perdagangan laut dunia, menjadikannya begitu penting bagi Malaysia untuk menjadi pengeluar dan pengeksport bahan-bahan mentah ke seluruh dunia. MISC juga berjaya membina kapal-kapal moden dengan jumlah muatan melebihi 800,000 tan metrik. Antara kapal-kapal MISC yang ada ialah kapal-kapal kargo am, kontena, pengangkut kargo, kargo pukal kering, pengangkutan bijih, minyak, gas asli dan sebagainya. Kerajaan turut mengambil langkah menubuhkan Akademi Laut Malaysia (ALAM) khusus untuk melatih para pegawai dan jurutera pelayaran. Penubuhan MISC telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan mengurangkan pergantungan kepada perkhidmatan perkapalan asing.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



